Thursday 12 December 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 9

Jawapan Penyelewengan Aqidah Syiah Yang Pertama
(Khalifah atau Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan)

Syiah menganggap bahawa Saidina Ali dan 12 keturunannya adalah Imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah saw dan mengatakan bahawa Saidina Ali lah yang lebih layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw kerana dia sudah dinaskan.

Bagi menjawab persoalan ini, maka saya kemukakan beberapa hujjah berdasarkan kepada nas-nas yang soheh seperti berikut:

Hujjah 2:

Antara dalil yang diguna pakai oleh Syiah dalam bab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Samurah r.a...

عن جابر بن سمرة قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول يكون اثنا عشر أميرا فقال كلمة لم أسمعها فقال أبي إنه قال كلهم من قريش

Daripada Jabir bin Samurah Katanya: Aku dengar Nabi saw bersabda: Islam akan berada dalam keadaan kuat sehinggalah kepada 12 orang Imam. Lalu Nabi menyebut sesuatu yang aku tidak dengar, lantas aku bertanya kepada ayahku tentang apa yang diucapkan Nabi.  Ayahku menjawab: Nabi kata: 12 orang imam itu semuanya berketurunan Quraish.

Maka Syiah mengatakan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib lah yang paling layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw, kerana beliau telah ditentukan secara Nas dan 12 orang keturunannya selepasnya. Sedangkan Abu Bakar, Umar dan Osman ditentukan secara lantikan.

Jawapannya: Hairan! Mengapa Syiah menggunakan hadis ini sebagai hujjah?! Sedangkan hadis ini adalah hadis yang paling kuat menolak dakwaan mereka. Bagaimana?

1)  Syiah menganggap bahawa 12 Khalifah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah anak-anak keturunan Saidina Ali r.a. Sedangkan kita semua mengetahui bahawa tiada seorangpun anak cucu Saidina Ali r.a. menjadi Khalifah melainkan Saidina Ali r.a. sahaja. Bahkan anaknya Saidina Hasan pun tidak pernah menjadi Khalifah, kerana yang jadi Khalifah di zamannya adalah Muawiyah r.a.

Maka bagaimana Syiah boleh menjadikan hadis ini sebagai dalil bagi pihak mereka! Sedangkan tiada seorangpun keturunan Saidina Ali menjadi Khalifah? Ini menunjukkan bahawa hadis ini adalah dalil bagi pihak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana 4 orang Khulafa` yang awal adalah berketurunan Quraish, kemudian selepas mereka jawatan Khalifah ini disambung oleh keturunan Quraish seperti Muawiyah dan seterusnya...Maka ia lebih tepat dengan kehendak hadis diatas yang mengatakan bahawa Islam kuat dibawah kepimpinan 12 orang Khalifah dari keturunan Quraish, bukannya dari keturunan Saidina Ali r.a.

2) Syiah mendakwa bahawa 12 orang Imam tersebut telah dinaskan dan dita`yinkan nama mereka oleh Rasulullah saw. Sedangkan dalam kumpulan Syiah sendiri berbeza pendapat dalam menyatakan nama-nama Imam 12 tersebut! Sebahagian Syiah menjadikan anak-anak Saidina Husin hingga Jaafar sebagai Imam. Syiah Imamiah pula menjadikan Musa bin Jaafar sebagai Imam. Syiah Ismailiyyah pula menjadikan Ismail bin Jaafar sebagai Imam. Sebahagian Syiah pula menjadikan Muhammad bin al-Hanafiah sebagai Imam dan begitulah seterusnya berlaku perbezaan pendapat di kalangan Syiah sendiri.

Sedangkan hadis ini tidak menamakan dan menta`yinkan siapakah 12 orang tersebut, Ia hanya menyatakan bahawa 12 Imam itu dari keturunan Quraish. Hairan! Bagaimana Syiah boleh kata 12 orang Imam itu adalah keturunan Saidina Ali r.a. ? Atas asas apa mereka mengatakan begitu? Tiada sebarang dalil yang  dikemukakan untuk menguatkan hujjah mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka telah melakukan pembohongan yang besar.

Sekian, semoga bermanfaat

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
AJK Dewan Ulama Negeri Pahang.
Ketua Penerangan Kawasan Kuala Krau

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...