Friday 29 August 2014

PAS TELAH NASIHATKAN PKR

Sabda Nabi saw:

الدين النصيحة قلنا لمن قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم (رواه مسلم)

Artinya: Agama Islam itu adalah nasihat, lalu kami bertanya: Untuk siapa nasihat itu  wahai Rasulullah? Beliau menjawab, Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam, dan kaum muslimin umumnya. (riwayat Muslim)

Nasihat bagi Allah, iaitu beriman kepadaNya semata-mata dengan tidak mempersekutukanNya dengan yang lain,  meninggalkan segala bentuk penyimpangan dan pengingkaran terhadapNya mentaatiNya dengan tidak bermaksiat kepadaNya, mengakui dan mensyukuri segala nikmat dari-Nya...

Nasehat bagi Kitab Allah, iaitu, mengimani bahwa Kitab Allah adalah Kalamullah wahyu dariNya yang Dia turunkan kepada RasulNya, membenarkan semua isinya, menegakkan hukum-hukumnya, mengambil pengajaran dari peringatan-peringatannya, dan menyeru manusia supaya berpegang teguh dengannya...

Nasihat bagi Rasulullah, iaitu membenarkan kerasulan beliau, mengimani segala yang beliau bawa, mentaati perintah dan larangan beliau, membela dan membantu perjuangan beliau semasa beliau hidup maupun setelah wafat, membenci orang-orang yang membenci beliau dan menyayangi orang-orang yang menyayangi beliau, menghidupkan sunnah beliau, ikut menyebarkan dakwah dan syariat beliau, dengan membendung segala tuduhan terhadap sunnah beliau...

Nasihat bagi para pemimpin kaum muslimin, iaitu membantu dan mentaati mereka di atas kebenaran, menasihatkan mereka supaya berdiri di atas landasan Islam, menegur mereka sekira menyimpang dari landasan yang betul...

Nasihat bagi kaum muslimin umumnya, iaitu membimbing mereka menuju kejayaan dunia dan akhirat, tidak menyakiti mereka, mengajarkan kepada mereka urusan agama yang belum mereka ketahui dan membantu mereka samaada dengan perkataan maupun perbuatan, menutup aib dan kekurangan mereka, menolak segala bahaya yang dapat mencelakakan mereka, mendatangkan manfaat bagi mereka, memerintahkan mereka melakukan perkara yang ma’ruf dan melarang mereka berbuat mungkar dengan penuh kelembutan dan ketulusan...

Dalam isu Menteri Besar Selangor, maka PAS melalui Majlis Syura Ulamanya menegaskan bahawa PAS  tidak pernah menerima pemimpin wanita sebagai Menteri Besar namun keputusan meletakkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor adalah kerana menghormati tahaluf siyasi dalam PR.

Wan Azizah bukanlah pilihan Pas sebaliknya diangkat oleh PR terutama PKR dan DAP. Maka PAS selaku rakan pakatan, menghormati suara majoriti itu dengan tidak menolak nama dicadangkan kedua-dua parti terbabit. Suara Pas hanya satu pertiga sedangkan dua pertiga lagi adalah suara dari PKR dan DAP yang perlu diambil kira.

Pas tetap dengan pendirian bahawa kita cadang dua nama, satunya Wan Azizah sebab ambil dari roh tahaluf siyasi, kita tidak tolak kerana itu suara majoriti dalam PR tetapi pegangan Pas MB dari kalangan lelaki adalah lebih diutamakan.

Terdapat dua keadaan dalam Islam berdasarkan wilayah ‘ammah (lingkungan umum) dan wilayah khosoh (lingkungan khas). Wilayah khosoh seperti pelantikan Exco dan wakil rakyat di kalangan wanita dibenarkan dalam Islam walaupun ada mazhab tidak membenarkannya seperti Mazhab Hanbali. Mazhab Hanbali tidak benarkan wanita terlibat dalam kepimpinan kerana kelemahan semula jadi yang Allah buat pada wanita.

Wilayah ‘ammah seperti pelantikan wanita sebagai pemimpin tertinggi, seperti jawatan MB, maka dalam bab  ini jumhur ulama tolak kerana wanita itu lemah.

Walaubagaimanapun PAS tiada hak untuk membatalkan keputusan parti lain namun selagi mempunyai ruang membuat keputusan, Pas tetap mengatakan wanita tidak sesuai menjadi Menteri Besar.

Pas telah pun menasihati rakan pakatan terutama PKR berhubung pemilihan wanita berdasarkan kepimpinan Islam namun pihak tersebut hanya berdiam diri.

Nasihat Pas seolah-olah tidak didengari apabila PKR bersama-sama DAP tetap mencadangkan calon tunggal iaitu Wan Azizah sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Akhir kalam, ingatlah pesanan Nabi saw tatkala raja Kisra melantik anak perempuannya menjadi raja...

لن يفلح قوم ولوا أمرهم إمرأة

Tidak akan Berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan pentadbiran mereka kepada wanita. (riwayat Bukhari)

Sekian, wassalam.
Ust Shahril Azman Hj. Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.
Pengerusi Lajnah Dakwah Negeri Pahang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...