Thursday 13 February 2014

TIADA KEBIJAKSANAAN MELAINKAN DENGAN PENGALAMAN

Sahabat Nabi saw Muawiyah r.a. berkata:    لاَ حَكِيمَ إِلاَّ ذُو تَجْرِبَةٍ   tiada kebijaksanaan melainkan dengan pengalaman. Maksudnya: Sesorang itu akan menjadi bijak dan cerdik apabila dia melalui berbagai-bagai pengalaman lalu dia mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut dengan melihat dimana salah silap, cacat cela, kekurangan dan kesilapan yang berlaku supaya tidak diulangi lagi kesilapan tersebut. Tetapi jika dia tidak mengambil pengajaran daripada pengalaman yang dia lalui maka dia bukanlah seorang yang bijak bahkan safih.

Maklumat yang ada pada saya, pada tahun 2013 Malaysia berada di kedudukan kedua tercorot dikalangan negara-negara Asia Tenggara yang terlibat, tertinggal jauh di belakang Singapore, Thailand dan Vietnam. Vietnam dihadapan Malaysia? Hairan!!! Negara Vietnam yang terkenal dengan sejarah hitam mereka kerana melalui tempoh zaman perang yang panjang, dan ekonomi Vietnam pada suatu ketika dahulu jaaaau….uuuuuhhh tertinggal di belakang Malaysia. Sekarang apa dah jadi daaa?

Salah satu puncanya kerana sistem pendidikan di Malaysia tidak pernah bertahan lama di mana acapkali berlaku perubahan dan prestasinya terus dinilai lemah, lebih-lebih lagi apabila berlaku pertukaran portfolio jawatan bagi Menteri Pendidikan, sistem pendidikan pasti akan ditukar dan dirombak semula atas nama pembaharuan dan legasi yang mahu ditinggalkan.

Tokoh akademik negara, Pak Ungku Aziz pernah menyuarakan pandangan kritisnya di mana beliau merasakan jikalau sistem pendidikan di Malaysia tiada tangan-tangan gatal yang mengusik dan merombaknya sesuka hati, beliau yakin dan pasti pendidikan negara tidak akan menjadi carca merba seperti yang berlaku sekarang.

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) seringkali mendapatkan aduan daripada kalangan guru-guru sekolah yang mana sistem yang disediakan untuk mereka amat menyedihkan. Terbaru, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula PBS menunjukkan kecelaruan sistem pendidikan negara.
Saya berpandangan, keadaan ini berlaku akibat  tiada perancangan yang jelas daripada parti pemerintah dalam hala tuju pendidikan negara. Belumpun masalah PPSMI selesai sepenuhnya, kini anak-anak kita dan guru-guru berhadapan dengan kecelaruan PBS pula.

Sepatutnya sebelum sesuatu dasar itu ditukar atau digubal, perlu suatu kajian yang menyeluruh dan mendalam dengan mengambil kira pelbagai aspek dan pandangan pelbagai pihak termasuk guru sebelum dilaksanakan. Kajian tersebut mestilah juga mengambil kira kemampuan tenaga pendidik yang terbabit secara langsung dalam menjayakan sesuatu dasar tersebut. Jika kajian mendapati dasar tersebut masih belum mampu ditanggung oleh para guru, kerajaan mestilah mempersiapkan dulu mereka, kemudian baru langkah percubaan dilakukan dalam skala kecil.

Sepatutnya kita mengambil iktibar daripada kegagalan PPSMI dahulu. Dasar tersebut dilaksanakan tanpa kajian yang secukupnya dan akibatnya menyusahkan para pelajar dan guru serta ibu bapa. Dasar setengah masak itu akhirnya gagal di tengah jalan dan merugikan wang rakyat berbilion ringgit akibat dari kedegilan kerajaan BN tidak memahami masalah sebenar situasi pendidikan di Malaysia. Kerajaan BN pada waktu itu, tahun 2003 sangat degil, sombong dan tetap mahu melaksanakan dasar PPSMI dalam tempoh yang lama dari 2003 hingga 2009 walaupun mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak khususnya golongan pendidik. Antara yang kuat menentang pada waktu itu adalah tokoh pendidikan negara Prof. Diraja Ungku Aziz, beliau mengatakan bahawa dasar PPSMI adalah dasar yang gila.

Terkini, PBS dilaksanakan tanpa mengambilkira kemampuan guru dan keperluan teknologi semasa. Terlalu banyak perkara yang berbangkit yang tidak dapat diselesaikan akibat kegopohan kerajaan melaksanakan sistem yang belum tentu sesuai dengan keperluan semasa pendidikan Malaysia.
Ditambah pula, kegagalan sistem ini turut diakibatkan oleh sikap pemerintah yang lebih melihat populariti memperkenalkan sistem berbanding memperbaiki kelemahan sistem yang ada.
Nampaknya kerajaan BN dulu kini dan selamanya tidak menjadikan pengalaman kegagalan dalam melaksanakan PPSMI sebagai pengajaran yang berharga. Kerajaan yang lemah yang tidak mahu berubah walaupun telah disengat berkali-kali namun tetap terjun ke dalam lubang  yang sama. Ingatlah pesan Nabi saw:  لا يلدغ المؤمن من جحر واحد مرتين
orang mukmin tidak akan disengat dua kali dalam satu lubang (riwayat Bukhari)

Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...