Masuk alamat email anda di sini. Setiap artikel baru akan dihantar kepada anda secara automatik

Wednesday, 11 December 2013

ATAS ASAS APA ZAHID HAMIDI TUDUH PIMPINAN PAS SYIAH?

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang muncul sejak tahun 1951.  Ia ditubuhkan atas kesedaran masyarakat Melayu Islam pada waktu itu untuk melihat Agama Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara Malaysia yang tercinta ini.

Sejak dari awal penubuhannya lagi, PAS  telah dilihat sebagai sebuah parti Melayu Islam yang memperjuangkan hal ehwal Islam melebihi dari apa yang dilaksanakan oleh UMNO. PAS didokongi oleh para ilmuan agama, ia adalah parti yang menjadi pilihan bagi orang-orang melayu yang berpendidikan agama khususnya.

PAS telah meletakkan rujukan tertingginya adalah al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan kias. Sejak penubuhannya sehingga sekarang PAS tidak pernah tergelincir dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan tiada ajaran Syiah yang dibenarkan menjadi dasar parti atau amalan ahlinya. PAS juga sangat tegas dengan perinsip dan dasar Islam yang dipegangnya, maka PAS bersedia memecat mana-mana ahli atau pimpinannya yang beraqidah Syiah, jika terdapat bukti jelas individu terbabit memang beramal dan beraqidah Syiah.

Sehinggi kini, tiada seorangpun ahli atau pimpinan PAS yang dilaporkan menganut ajaran Syiah. Tiba-tiba Ahmad Zahid Hamidi dengan lagak samsengnya secara terang-terangan telah menuduh pemimpin nombor dua dalam PAS adalah pemimpin Syiah. 

Barangkali Zahid Hamidi teruja dengan kemenangan besarnya bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO baru-baru ini kut, atau  dia nak tunjukkan kepada ahli UMNO bahawa dia memang layak jadi Naib Presiden berbanding orang lain, atau sengaja mengaitkan Syiah dengan PAS dengan tujuan memburukkan PAS supaya orang melayu tidak lagi menyokong PAS?

Mungkinkah Zahid Hamidi ada bukti kukuh sehingga beliau dengan penuh yakin mengatakan: "Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS..." "Kita hairan bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah itu untuk menjadi orang kedua dalam PAS.."

Persoalannya, apakah asas yang diguna pakai oleh Zahid Hamidi sehingga sanggup menuduh pemimpin PAS tersebut sudah layak dianggap sebagai pemimpin Syiah? Adakah Zahid Hamidi boleh membuktikan bahawa pemimpin PAS yang dituduh itu beraqidah dan beramal seperti berikut:

1- Beraqidah bahawa perlantikan khalifah adalah secara nas bukan lantikan secara syura.
2- Beraqidah bahawa Abu Bakar as-Siddiq r.a. tidak layak jadi Khalifah setelah wafatnya Rasulullah, kerana beliau dilantik secara lantikan syura bukan dinaskan oleh Rasulullah saw.
3- Beraqidah bahawa Saidina Ali r.a. lah yang paling layak jadi Khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw. kerana beliau telah dinaskan oleh Rasulullah saw.
4- Beraqidah bahawa Imam-imam dua belas dari keturunan Saidina Ali adalah maksum sebagaimana maksumnya para Anbiya`.
5- Beraqidah bahawa boleh mencela para sahabat Nabi dan ummahatul mukminin.
6- Beraqidah bahawa boleh nikah Mutaah dan menganggapnya lebih utama dari solat, puasa dan haji. Nikah Mutaah pula tidak perlu saksi, wali dan pengisytiharan.
7- Beraqidah bahawa beramal dengan Qiyas merosakkan agama.
8- Beraqidah bahawa boleh menjamakkan sembahyang dalam semua keadaan.
9- Beraqidah bahawa al-Quran yang ada di tangan umat Islam sekarang sudah diubah dan ditokok tambah dan telah diselewengkan.
10- Beraqidah bahawa menziarahi kubur Saidina Husin bin Ali mendapat ganjaran syurga.
11- Beraqidah bahawa menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram kerana meratapi kematian saidina Husin mendapat ganjaran pahala.
12- Adakah pemimpin PAS itu sujud di atas batu Karbala ketika solat?
13- Adakah pemimpin PAS itu hanya menyapu kaki ketika wuduk?
14- Adakah pemimpin PAS itu menepuk peha ketika memberi salam sesudah sembahyang?
15- Adakah pemimpin PAS itu mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi saw?

Adakah Zahid Hamidi menjadikan 15 perkara ini sebagai asas bagi membolehkan seseorang itu layak dianggap sebagai penganut ajaran Syiah? Atau tuduh membabi buta tanpa asas kukuh? Jika tiada bukti dan asas yang kukuh janganlah bermudah-mudah menuduh seseorang sebagai Syiah, kelak binasa badan dan di akhirat nanti akan mendapat balasan azab yang sangat dahsyat.

Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...