Wednesday 27 November 2013

KEMPEN AWAL KEARAH PERLAKSANAAN CUKAI GST

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana, katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat, kita tanamkan semangat ini,  dengan ini negara kita akan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 24 November 2013.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.
"Kebaikannya ialah kita akan mempunyai sumber kewangan dan hasil yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negara dan rakyat akan lebih bahagia kerana berdasarkan sumberlah, negara akan menjadi maju," katanya. Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.
PAS melihat Najib telah memulakan kempen awalnya supaya rakyat menerima perlaksanaan cukai GST apabila ia dilaksanakan April 2015 nanti. Beliau berhujjah dengan mengatakan:
1- Siapa tak bayar cukai dianggap pengkhianat negara.
2- Sesiapa bayar cukai, maka terbuktilah dia mempunyai semangat patriotisme.
3- Cukai akan meningkatkan pendapatan negara.
4- Negara akan menjadi maju apabila mempunyai sumber pendapatan yang banyak.
Najib hanya nampak siapa tak bayar cukai adalah pengkhianat negara tapi Najib tidak sedar bahawa pengkhianat sebenar ialah mereka yang tidak amanah membelanjakan duit pembayar cukai.
Nampaknya kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Najib Razak tidak mendapat pertolongan dari Allah, Allah membiarkannya berfikir sendiri untuk menyelesaikan masalah hutang negara. Beliau tidak nampak cara lain bagaimana meningkatkan pendapatan negara dan membayar hutang sehingga terdesak membebankannya ke atas bahu rakyat melalui cukai GST yang akan dilaksanakan. Seolah-olah kerajaan dibawah pimpinan Najib Razak sudah kekeringan idea dan tidak nampak cara lain melainkan CUKAI semata-mata.
Kekeringan idea ini terjadi kerana kemenangan BN dalam beberapa PRU bukan melalui sistem dimokrasi yang telus tetapi melalui penipuan dan penyelewengan. Apabila jawatan yang dimiliki itu melalui cara yang tidak betul, maka Allah berlepas diri dari pemerintahan mereka. Oleh itu benarlah sabda Nabi saw:
قال عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ  قَالَ النَّبِىُّ  صلى الله عليه وسلم  « يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ ، فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا ، وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا (متفق عليه)

“Berkata Abdul Rahman bin Samurah, Nabi saw bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan kamu minta jawatan, kerana sesungguhnya jika kamu diberi jawatan dengan sebab kamu minta maka kamu sahaja yang diwakilkan kepada jawatan tersebut (tanpa mendapat bantuan dari Allah dalam menunaikan segala tanggungjawab). Sebaliknya, jika kamu diberikan jawatan bukan kerana kamu minta, nescaya kamu akan dibantu oleh Allah dalam menunaikan tanggungjawab kepimpinan tersebut. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Saya telah sebut dalam artikel yang lalu supaya kerajaan selesaikan dahulu ketirisan, pemborosan, penyelewengan, rasuah, pembayaran gaji melampau, pembaziran dan sebagainya dalam mengurus harta negara, sebelum mengenakan cukai kepada rakyat. Kerana Islam telah meletakkan beberapa syarat penting bagi membolehkan pengambilan cukai daripada rakyat, ini kerana hukum asalnya  adalah haram berdasarkan sabda Nabi saw:
إِنَّ صَاحِبَ المَكْسِ فِى النَّارِ
“Sesungguhnya pengambil cukai di dalam neraka” (riwayat Ahmad)
Bahkan telah dibahas didalam kitab-kitab feqah Islam tentang tegahan mengambil cukai. Imam Ibnu Hajar as-Syafie mengatakan: “Cukai itu adalah sejahat-jahat mungkar, bahkan ia suatu dosa besar”   (الزواجر لإبن حجر) 
Laporan Audit 2012 telah mendedahkan beberapa penyelewengan dan kelemahan pengurusan kerajaan yang merugikan kantong Negara sehingga menyebabkan hutang melangit tinggi, antaranya:
1) Jam dinding harga sebenar hanya RM100 tapi kerajaan beli dengan harga RM3,810 beli sebanyak 20 buah . Sepatut bayar RM2000 sahaja tapi kerajaan bayar RM76,200 maka rugi duit Negara sebanyak RM74,200
2) Pengimbas bersaiz A4 (Scaner) harga sebenar hanya RM200 tapi kerajaan beli dengan harga RM14,300 beli sebanyak 3 buah. Sepatut bayar RM600 sahaja tapi kerajaan bayar RM42,900 maka rugi duit Negara sebanyak RM42,300
Dua contoh ini sahajapun, jika kerajaan amanah menjalankan tugas maka Negara boleh jimat sebanyak RM116,500 tapi ia berlaku sebaliknya. Maka sebab itulah setiap tahun kantong Negara rugi sebanyak RM20 bilion lebih.
Tiba-tiba rakyat yang terpaksa tanggung kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab melalui cukai GST. !!! JOM BANTAH GST DAN TUMBANGKAN BN
Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...