Monday 19 May 2014

TNB: MENAIKKAN HARGA DALAM KEADAAN RAKYAT TIADA PILIHAN LAIN ADALAH ZALIM

Pada 16 Mei 2014 Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan terpaksa menaikkan tarif elektrik bagi melindungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada berdepan kerugian sekaligus menjejaskan masa depan 34,900 pekerjanya. Kenaikan terakhir ialah pada bulan Jun 2011 kenaikan sebanyak 7.12 % iaitu kepada 33.54 sen/kWj . Kenaikan kali ini dianggarkan dari 10 hingga 20% .

Dalam isu ini, saya berpendapat bahawa TNB hanya mementingkan keuntungan besar sahaja, khususnya keuntungan pemegang-pemegang saham tanpa mengambil kira kesusahan rakyat teramai yang berpendapatan rendah. Gaji CEO dia sahaja pun dah RM1 juta lebih setahun, ini bermakna gajinya sebulan Hampir RM100,000. Itu belum lagi dicampur dengan pengarah-pengarah atasan.

Kesan dari kenaikan ini akan ditanggung oleh rakyat kerana sejurus tarif elektrik naik, pasti bebanannya akan dirasai oleh rakyat sebagai pengguna. Ia juga bakal dirasai oleh industri-industri  yang banyak menggunakan elektrik, seperti industri monorel and LRT yang sedang menunggu waktu untuk menaikkan tambang, kilang-kilang dan sebagainya. So apabila barang naik, maka siapakah yang paling terbeban? Sudah tentulah rakyat.

TNB sepatutnya berfungsi sebagai GLC yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat kerana amat sukar sekali untuk membayangkan syarikat itu rugi kerana kita semua TERPAKSA membayar bil atau bergelap. So rugi dari aspek mana??? Tambahan pula tiada  alternatif syarikat elektrik lain untuk kita gunakan bagi mewujudkan persaingan harga elektrik. Dalam keadaan monopoli begini, NAIK HARGA sedang untung berbillion adalah satu KEZALIMAN.

Persoalannya, BENARKAH TNB BERDEPAN KERUGIAN? Jom kita lihat kepada rekod untung rugi TNB secara kasar  sejak tahun 2000 hingga 2013 berdasarkan laporan akhbar pro kerajaan sendiri iaitu Utusan dan Berita Harian adalah seperti berikut:

Tahun 2000 TNB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.523 Bilion.
Tahun 2001 TNB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.193 Bilion yakni peningkatan sebanyak 43%.
Tahun 2002 TNB catat keuntungan terbesar RM1.619 Bilion dalam tempoh 6 bulan pertama berakhir 28 Feb. 2002 berbanding RM1.543 Bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Tahun 2003 TNB mencatatkan keuntungan sebanyak RM663.2 Juta.
Tahun 2004 TNB mengumumkan kerugian sebanyak RM26.4 Juta.
Tahun 2005 TNB meraih keuntungan sebanyak RM303.6 Juta.
Tahun 2006 TNB meraih keuntungan bersih sebanyak RM995.1 Juta.
Tahun 2007 TNB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.060 Bilion bagi suku pertama 2007.
Tahun 2008 TNB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.272 Bilion bagi suku pertama 2008.
Tahun 2009 TNB mencatat keuntungan bersih sebanyak RM706.3 Juta pada suku pertama 2009.
Tahun 2010 TNB memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM3.2 Bilion.
Tahun 2011 TNB mengumumkan kerugian bersih sebanyak RM453.9 Juta.
Tahun 2012 TNB mencatat keuntungan bersih sebanyak RM4.41 Bilion.
Tahun 2013 TNB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi berjumlah RM4.61 Bilion.

Saya melihat antara punca berlakunya kenaikan ini adalah kerana kedegilan kerajaan untuk mengkaji semula perjanjian berat sebelah antara kerajaan dengan PENJANA TENAGA BEBAS (IPP). Dari tahun 1997 hingga 2011 kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM136.5 bilion kepada syarikat gergasi Penjana Tenaga Bebas (IPP). Sedangkan dengan rakyatn pula tidak didahulukan dan diutamakan. Manakala dasar kerajaan kearah pengurangan subsidi juga menjadi faktur kepada kenaikan tarif elektrik.

Bilakah isu IPP hendak diselesaikan? Bagi membuktikan rakyat didahulukan, maka kerajaan sewajibnya meneliti semula perjanjian konsesi IPP kerana ia bersifat 'berat sebelah'. Akibat daripada perjanjian berat sebelah ini, akhirnya pengguna yang perlu menanggung bebannya.
Dalam keadaan harga gas, diesel dan arang batu yang tidak stabil di peringkat antarabangsa, ini menyebabkan kos penjana tenaga kian meningkat. Namun begitu berdasarkan perjanjian konsesi tersebut, sebarang peningkatan harga ini akan ditanggung oleh pengguna melalui formula pass-through.

Sebahagian besar daripada peningkatan kos itu adalah kos pembelian tenaga elektrik IPP. Pada tahun 2008, TNB membayar lebih RM9 bilion kepada IPP, yang bersamaan dengan 45 peratus keseluruhan kos operasi TNB. Dalam masa yang sama, Petronas pula memberikan subsidi gas kepada IPP dan TNB untuk menjana tenaga elektrik. Subsidi ini dalam bentuk pengurangan harga gas berbanding dengan harga gas semasa. Petronas dikatakan telah memberikan subsidi gas sebanyak RM19 bilion pada tahun 2010 kepada IPP dan TNB.

Jika dilihat daripada senario ini menunjukkan negara sebenarnya tidak memerlukan IPP untuk menjana elektrik dan menjualnya kepada TNB. Ini berdasarkan jumlah perbelanjaan yang tinggi terpaksa ditanggung oleh kerajaan, sama ada kos pembelian tenaga elektrik oleh TNB atau subsidi gas Petronas kepada IPP.

Sepatutnya kos pembelian tenaga itu digunakan oleh TNB membina stesen penjana elektrik yang baru bagi menampung keperluan elektrik negara. Begitu juga subsidi Petronas yang diberikan kepada TNB bagi membantu TNB mengurangkan kos penjanaan elektrik. Pada masa yang sama TNB harus terus menerokai sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk menjana sumber tenaga elektrik.

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan elektrik. Namun keadaan ini tidak berlaku kepada IPP yang hanya mementingkan keuntungan syarikat dan pemegang saham mereka sahaja. Malah beberapa syarikat IPP ini telah dijadikan syarikat persendirian untuk memastikan mereka tidak perlu mendedahkan laporan penyata kewangan tahunan mereka kepada Bursa Malaysia.

Kerajaan perlu melihat semula cadangan untuk mengenakan “CUKAI UNTUNG BERLEBIHAN” sebagaimana yang dibangkitkan sedikit masa dahulu agar kadar keuntungan berlebihan IPP ini dapat dinikmati oleh rakyat dalam bentuk pembangunan prasarana bekalan elektrik. BUKANNYA MENGENAKAN CUKAI GST KEPADA RAKYAT!!!

Kalau nak cerita tentang IPP dan siapa sebenarnya untung? Panjang sangat, cukuplah sekadar saya nyatakan bahawa setiap apa yang terjadi pasti ada puncanya. Apa puncanya sehingga munculnya IPP dalam industri tenaga negara?

Semuanya bermula apabila berlakunya blackout yang terburuk pada tahun 1992 sehingga menyebabkan sebahagian Malaysia “gelap-gelita” selama tempoh 48 jam dan mencetuskan kemarahan & bantahan orang awam. Akibatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyalahkan monopoli TNB dalam penjanaan tenaga elektrik negara di atas masalah yang berlaku pada tahun 1992 itu. Akhirnya, IPP telah diberikan peranan dalam sektor industri tenaga negara.

Pada masa itu apabila peluang dibuka untuk kontrak IPP, ramai yang membida kontrak IPP sehingga sekitar 150 permohonan telah masuk dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU) termasuklah jutawan dan taikun tersohor Malaysia pada masa itu seperti : Jutawan seperti Yeoh Tiong Lay (YTL), Ananda Krishnan (Maxis), Lim Goh Tong (Genting) dan Syed Mokhtar Al-Bukhary (MMC Corporation). JADI SIAPA UNTUNG? KRONI UNTUNG RAKYAT RENTUNG.

Sejak dari itu TNB wajib membeli tenaga daripada IPP walaupun TNB sebenarnya tidak memerlukan tenaga tersebut. Tetapi di atas dasar perjanjian “berat sebelah” PPA, TNB terpaksa juga membelinya Sehinggalah berlakunya krisis ekonomi 1997, TNB mengalami kerugian yang terburuk dalam sejarah. Maka  Penyelesaiannya mudah sahaja... Tarif elektrik terpaksa dinaikkan kepada anda, anda dan anda semua sebagai pengguna elektrik mesti bayar, jika tak bayar anda kena bergelap dan tutup peti ais.

Semoga bermanfaat dan fikir-fikirkanlah...

Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.
Pengerusi Lajnah Dakwah Negeri Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...