Showing posts with label Syiah. Show all posts
Showing posts with label Syiah. Show all posts

Thursday, 12 December 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 9

Jawapan Penyelewengan Aqidah Syiah Yang Pertama
(Khalifah atau Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan)

Syiah menganggap bahawa Saidina Ali dan 12 keturunannya adalah Imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah saw dan mengatakan bahawa Saidina Ali lah yang lebih layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw kerana dia sudah dinaskan.

Bagi menjawab persoalan ini, maka saya kemukakan beberapa hujjah berdasarkan kepada nas-nas yang soheh seperti berikut:

Hujjah 2:

Antara dalil yang diguna pakai oleh Syiah dalam bab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Samurah r.a...

عن جابر بن سمرة قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول يكون اثنا عشر أميرا فقال كلمة لم أسمعها فقال أبي إنه قال كلهم من قريش

Daripada Jabir bin Samurah Katanya: Aku dengar Nabi saw bersabda: Islam akan berada dalam keadaan kuat sehinggalah kepada 12 orang Imam. Lalu Nabi menyebut sesuatu yang aku tidak dengar, lantas aku bertanya kepada ayahku tentang apa yang diucapkan Nabi.  Ayahku menjawab: Nabi kata: 12 orang imam itu semuanya berketurunan Quraish.

Maka Syiah mengatakan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib lah yang paling layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw, kerana beliau telah ditentukan secara Nas dan 12 orang keturunannya selepasnya. Sedangkan Abu Bakar, Umar dan Osman ditentukan secara lantikan.

Jawapannya: Hairan! Mengapa Syiah menggunakan hadis ini sebagai hujjah?! Sedangkan hadis ini adalah hadis yang paling kuat menolak dakwaan mereka. Bagaimana?

1)  Syiah menganggap bahawa 12 Khalifah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah anak-anak keturunan Saidina Ali r.a. Sedangkan kita semua mengetahui bahawa tiada seorangpun anak cucu Saidina Ali r.a. menjadi Khalifah melainkan Saidina Ali r.a. sahaja. Bahkan anaknya Saidina Hasan pun tidak pernah menjadi Khalifah, kerana yang jadi Khalifah di zamannya adalah Muawiyah r.a.

Maka bagaimana Syiah boleh menjadikan hadis ini sebagai dalil bagi pihak mereka! Sedangkan tiada seorangpun keturunan Saidina Ali menjadi Khalifah? Ini menunjukkan bahawa hadis ini adalah dalil bagi pihak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana 4 orang Khulafa` yang awal adalah berketurunan Quraish, kemudian selepas mereka jawatan Khalifah ini disambung oleh keturunan Quraish seperti Muawiyah dan seterusnya...Maka ia lebih tepat dengan kehendak hadis diatas yang mengatakan bahawa Islam kuat dibawah kepimpinan 12 orang Khalifah dari keturunan Quraish, bukannya dari keturunan Saidina Ali r.a.

2) Syiah mendakwa bahawa 12 orang Imam tersebut telah dinaskan dan dita`yinkan nama mereka oleh Rasulullah saw. Sedangkan dalam kumpulan Syiah sendiri berbeza pendapat dalam menyatakan nama-nama Imam 12 tersebut! Sebahagian Syiah menjadikan anak-anak Saidina Husin hingga Jaafar sebagai Imam. Syiah Imamiah pula menjadikan Musa bin Jaafar sebagai Imam. Syiah Ismailiyyah pula menjadikan Ismail bin Jaafar sebagai Imam. Sebahagian Syiah pula menjadikan Muhammad bin al-Hanafiah sebagai Imam dan begitulah seterusnya berlaku perbezaan pendapat di kalangan Syiah sendiri.

Sedangkan hadis ini tidak menamakan dan menta`yinkan siapakah 12 orang tersebut, Ia hanya menyatakan bahawa 12 Imam itu dari keturunan Quraish. Hairan! Bagaimana Syiah boleh kata 12 orang Imam itu adalah keturunan Saidina Ali r.a. ? Atas asas apa mereka mengatakan begitu? Tiada sebarang dalil yang  dikemukakan untuk menguatkan hujjah mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka telah melakukan pembohongan yang besar.

Sekian, semoga bermanfaat

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
AJK Dewan Ulama Negeri Pahang.
Ketua Penerangan Kawasan Kuala Krau

Wednesday, 11 December 2013

ATAS ASAS APA ZAHID HAMIDI TUDUH PIMPINAN PAS SYIAH?

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang muncul sejak tahun 1951.  Ia ditubuhkan atas kesedaran masyarakat Melayu Islam pada waktu itu untuk melihat Agama Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara Malaysia yang tercinta ini.

Sejak dari awal penubuhannya lagi, PAS  telah dilihat sebagai sebuah parti Melayu Islam yang memperjuangkan hal ehwal Islam melebihi dari apa yang dilaksanakan oleh UMNO. PAS didokongi oleh para ilmuan agama, ia adalah parti yang menjadi pilihan bagi orang-orang melayu yang berpendidikan agama khususnya.

PAS telah meletakkan rujukan tertingginya adalah al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan kias. Sejak penubuhannya sehingga sekarang PAS tidak pernah tergelincir dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan tiada ajaran Syiah yang dibenarkan menjadi dasar parti atau amalan ahlinya. PAS juga sangat tegas dengan perinsip dan dasar Islam yang dipegangnya, maka PAS bersedia memecat mana-mana ahli atau pimpinannya yang beraqidah Syiah, jika terdapat bukti jelas individu terbabit memang beramal dan beraqidah Syiah.

Sehinggi kini, tiada seorangpun ahli atau pimpinan PAS yang dilaporkan menganut ajaran Syiah. Tiba-tiba Ahmad Zahid Hamidi dengan lagak samsengnya secara terang-terangan telah menuduh pemimpin nombor dua dalam PAS adalah pemimpin Syiah. 

Barangkali Zahid Hamidi teruja dengan kemenangan besarnya bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO baru-baru ini kut, atau  dia nak tunjukkan kepada ahli UMNO bahawa dia memang layak jadi Naib Presiden berbanding orang lain, atau sengaja mengaitkan Syiah dengan PAS dengan tujuan memburukkan PAS supaya orang melayu tidak lagi menyokong PAS?

Mungkinkah Zahid Hamidi ada bukti kukuh sehingga beliau dengan penuh yakin mengatakan: "Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS..." "Kita hairan bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah itu untuk menjadi orang kedua dalam PAS.."

Persoalannya, apakah asas yang diguna pakai oleh Zahid Hamidi sehingga sanggup menuduh pemimpin PAS tersebut sudah layak dianggap sebagai pemimpin Syiah? Adakah Zahid Hamidi boleh membuktikan bahawa pemimpin PAS yang dituduh itu beraqidah dan beramal seperti berikut:

1- Beraqidah bahawa perlantikan khalifah adalah secara nas bukan lantikan secara syura.
2- Beraqidah bahawa Abu Bakar as-Siddiq r.a. tidak layak jadi Khalifah setelah wafatnya Rasulullah, kerana beliau dilantik secara lantikan syura bukan dinaskan oleh Rasulullah saw.
3- Beraqidah bahawa Saidina Ali r.a. lah yang paling layak jadi Khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw. kerana beliau telah dinaskan oleh Rasulullah saw.
4- Beraqidah bahawa Imam-imam dua belas dari keturunan Saidina Ali adalah maksum sebagaimana maksumnya para Anbiya`.
5- Beraqidah bahawa boleh mencela para sahabat Nabi dan ummahatul mukminin.
6- Beraqidah bahawa boleh nikah Mutaah dan menganggapnya lebih utama dari solat, puasa dan haji. Nikah Mutaah pula tidak perlu saksi, wali dan pengisytiharan.
7- Beraqidah bahawa beramal dengan Qiyas merosakkan agama.
8- Beraqidah bahawa boleh menjamakkan sembahyang dalam semua keadaan.
9- Beraqidah bahawa al-Quran yang ada di tangan umat Islam sekarang sudah diubah dan ditokok tambah dan telah diselewengkan.
10- Beraqidah bahawa menziarahi kubur Saidina Husin bin Ali mendapat ganjaran syurga.
11- Beraqidah bahawa menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram kerana meratapi kematian saidina Husin mendapat ganjaran pahala.
12- Adakah pemimpin PAS itu sujud di atas batu Karbala ketika solat?
13- Adakah pemimpin PAS itu hanya menyapu kaki ketika wuduk?
14- Adakah pemimpin PAS itu menepuk peha ketika memberi salam sesudah sembahyang?
15- Adakah pemimpin PAS itu mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi saw?

Adakah Zahid Hamidi menjadikan 15 perkara ini sebagai asas bagi membolehkan seseorang itu layak dianggap sebagai penganut ajaran Syiah? Atau tuduh membabi buta tanpa asas kukuh? Jika tiada bukti dan asas yang kukuh janganlah bermudah-mudah menuduh seseorang sebagai Syiah, kelak binasa badan dan di akhirat nanti akan mendapat balasan azab yang sangat dahsyat.

Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.

Friday, 29 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 8

Jawapan Penyelewengan Aqidah Syiah Yang Pertama
(Khalifah atau Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan)

Syiah menganggap bahawa Saidina Ali dan 12 keturunannya adalah Imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah saw dan mengatakan bahawa Saidina Ali lah yang lebih layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw kerana dia sudah dinaskan.

Bagi menjawab persoalan ini, maka saya kemukakan beberapa hujjah berdasarkan kepada nas-nas yang soheh seperti berikut:

Hujjah 1:

Tidak terdapat nas dari al-Quran atau Hadith-hadith sahih yang jelas maksudnya bahawa Saidina Ali itu telah dinaskan sebagai khalifah selepas wafat Rasulullah s.a.w. Ia hanyalah rekaan yang dicipta oleh Abdullah bin Saba` al-Yahudi.

Bahkan disana ada beberapa ATHAR   (آثار)  dari Saidina Ali r.a. sendiri yang menunjukkan tiada dalil yang qat`ie daripada Nabi saw atau al-Quran yang menaskan Saidina Ali r.a. sebagai Khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw., antaranya:

عَنْ أَبِى الطُّفَيْلِ قَالَ سُئِلَ عَلِىٌّ أَخَصَّكُمْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِشَىْءٍ فَقَالَ مَا خَصَّنَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِشَىْءٍ لَمْ يَعُمَّ بِهِ النَّاسَ كَافَّةً ...

Artinya: Daripada Abi at-Thufail katanya, Saidina Ali ditanya: Adakah Rasulullah saw pernah mengkhususkan sesuatu kepada kamu? Lalu Saidina Ali menjawab: Rasulullah saw tidak pernah mengkhususkan  kepada kami sesuatu yang belum diumumkan kepada manusia seluruhnya...(riwayat Muslim, an-Nasaie dan Ahmad) 

عَنْ عَلِىٍّ أَنَّهُ قَالَ يَوْمَ الْجَمَلِ إِنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَمْ يَعْهَدْ إِلَيْنَا عَهْداً نَأْخُذُ بِهِ فِى إِمَارَةٍ وَلَكِنَّهُ شَىْءٌ رَأَيْنَاهُ مِنْ قِبَلِ أَنْفُسِنَا ثُمَّ اسْتُخْلِفَ أَبُو بَكْرٍ رَحْمَةُ اللهِ عَلَى أَبِى بَكْرٍ فَأَقَامَ وَاسْتَقَامَ ثُمَّ اسْتُخْلِفَ عُمَرُ رَحْمَةُ اللهِ عَلَى عُمَرَ فَأَقَامَ وَاسْتَقَامَ حَتَّى ضَرَبَ الدِّينُ بِجِرَانِهِ.

Artinya: Sesungguhnya Saidina Ali r.a. pernah berkata pada hari peperangan Jamal (peperangan ini berlaku pada tahun 36 H di Basrah Iraq), katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah mewasiatkan sesuatu yang boleh kita bersandarkan dengannya dalam perkara perlantikan pemimpin. Tetapi urusan perlantikan pemimpin berdasarkan pandangan kita sendiri. Maka berdasarkan pandanganlah, Abu Bakar as-Siddiq r.a. telah dilantik menjadi khalifah, semoga Allah merahmatinya. Lalu Abu Bakar r.a. melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Kemudian berdasarkan pandanganlah maka Umar r.a. pula dilantik menjadi khalifah, semoga Allah merahmatinya. Lalu Umar r.a. melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah sehingga agama menjadi kukuh. (riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Oleh kerana itu, para sahabat telah bersetuju melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama sebaik sahaja wafat Rasulullah s.a.w. dan Saidina Ali sendiri pun telah berbai'ah dengan Saidina Abu Bakar.
Bai’ah kepada Abu Bakar  ra. berlaku selepas selesai mesyuarat di antara sahabat-sahabat besar di kalangan Muhajirin dan al-Ansor. Ini menunjukkan bahawa yang membuat pemilihan ialah mereka yang dimuliakan di kalangan para ulama dan para pemimpin. Inilah yang dinamakan sebagai ahlul halli wal `aqdi.

قال علي لما قبض النبي صلى الله عليه وسلم نظرنا في أمرنا فوجدنا النبي صلى الله عليه وسلم قد قدم أبا بكر في الصلاة فرضينا لدنيانا من رضي رسول الله صلى الله عليه وسلم لديننا فقدمنا أبا بكر

Artinya: Berkata Saidina Ali r.a.: Tatkala wafatnya Rasulullah saw, kami melihat dalam urusan perlantikan khalifah, lalu kami dapati Rasulullah saw pernah melantik Abu Bakar r.a. menjadi imam solat kami. Maka kami redho untuk urusan dunia kami kepada sesiapa yang diredhoi oleh Rasulullah saw untuk urusan agama kami, lalu kami melantik Abu Bakar sebagai khalifah. (Tobaqat ibnu Sa`ad, dikeluarkan oleh ibnu `Asakir, Tarikh al-Khulafa` Lis-Sayuthi dan disebut dalam masail imam Ahmad)

Maka berdasarkan kepada semua nas-nas ini menunjukkan dalil-dalil qat`ie bahawa Rasulullah saw tidak pernah menaskan atau mewasiatkan jawatan khalifah kepada sesiapapun di kalangan sahabatnya, samaada Abu Bakar r.a. atau Ali r.a. atau selain mereka berdua. Yang ada hanyalah ucapan dan perbuatannya yang mengisyaratkan seolah-olah dia mahukan Abu bakar r.a. sebagai khalifah selepasnya.

Sekian, semoga bermanfaat

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan Kawasan Kuala Krau

Tuesday, 19 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 7

Kesesatan Dari Sudut Aqidah

Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Malaysia. Antara penyelewengannya dari sudut aqidah ialah:

Pertama: Khalifah / Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan.

Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan oleh Allah melalui lisan RasulNya secara Nas bukan lantikan. Syiah beriktiqad bahawa perlantikan imam-imam sama seperti perlantikan Nabi, ia tidak berlaku melainkan dengan Nas daripada Allah SWT atau lisan Rasul atau lisan imam yang telah dilantik secara Nas apabila ia hendak menentukan imam selepasnya.

Hukum Imamah bagi Syiah sama seperti hukum perlantikan Nabi, tidak ada perbezaan. Orang ramai tidak mempunyai hak penentuan, pencalonan dan pemilihan kerana telah ada orang yang telah dilantik secara Nas, dan orang yang telah dilantik secara Nas itu mempunyai persediaan yang cukup untuk menanggung bebanan Imam dan memimpin masyarakat.

Syiah mempercayai bahawa Nabi s.a.w. telah menentukan khalifahnya dan imam di muka bumi ini selepasnya. Lalu baginda menentukan sepupunya Ali bin Abu Talib sebagai Amirul Mukmin pemegang amanah terhadap wahyu dan imam kepada semua makhluk di beberapa tempat. Baginda telah melantiknya dan mengambil baiah kepadanya untuk memerintah orang-orang Islam pada hari Ghadir (Ghadir adalah sebuah tempat yang terletak 3 batu dari Juhfah), Selepas selesai mengerjakan haji terakhir, maka disitulah baginda bersabda: " Ketahuilah bahawa sesiapa yang aku telah menjadikannya ketua maka Ali lah yang menjadi ketuanya. Wahai Tuhan, lantiklah orang yang menjadikan Ali sebagai pemimpin dan musuhilah orang yang memusuhinya dan tolonglah orang yang menolongnya dan hinalah orang yang menghinanya. Berilah kebenaran kepada Ali di mana ia berada".

Maka Syiah mempercayai bahawa wasi Rasulullah saw  ialah Saidina Ali. Kemudian Saidina Ali mewasiatkannya pula kepada anaknya Hasan dan Hasan mewasiatkannya pula kepada Hussain sehinggalah kepada Imam Dua Belas AI-Mahdi AI-Muntazar (telah disebutkan dalam siri ke 4). (Rujukan: Kitab Aqaid al-Imamiah oleh ulama Syiah iaitu Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 78:)

Antara dalil yang diguna pakai oleh Syiah dalam bab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Samurah r.a...

عن جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَكُونُ اثْنَا عَشَرَ أَمِيرًا فَقَالَ كَلِمَةً لَمْ أَسْمَعْهَا فَقَالَ أَبِي إِنَّهُ قَالَ كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ

“Daripada Jabir bin Samurah Katanya: Aku dengar Nabi saw bersabda: Islam akan berada dalam keadaan kuat sehinggalah kepada 12 orang Imam. Lalu Nabi menyebut sesuatu yang aku tidak dengar, lantas aku bertanya kepada ayahku tentang apa yang diucapkan Nabi. Ayahku menjawab: Nabi kata: 12 orang imam itu semuanya berketurunan Quraish”

Maka Syiah mengatakan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib lah yang paling layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw, kerana beliau telah ditentukan secara Nas dan 12 orang keturunannya selepasnya. Sedangkan Abu Bakar, Umar dan Osman ditentukan secara lantikan.

Note: Nantikan jawapan pencerahan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam bab ini pada siri ke 8 InsyaAllah

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan Kws. Kuala Krau

Thursday, 14 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 6

Aliran Syiah Di Malaysia

Di Malaysia terdapat 3 kumpulan Syiah yang berkembang semenjak beberapa tahun yang lalu, iaitu:

1) Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra)

Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang (statistik tahun 1996, 17 tahun dulu sekarang mungkin lebih).

2) Syiah Ismailiyah Agha Khan

Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra. Mereka memiliki gudang karpet, tekstil dan pasar raya termurah yang terbesar di Malaysia.

3) Syiah Jaafariyah / Imamiyah Ithna `Asyariyah (Imam 12)

Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan samaada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Pengaruh & Buku Syiah Yg Tersebar Di Malaysia:

Pengarah fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya: Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di Malaysia, pengikut Syiah dianggarkan antara 3000 hingga 5000 orang.

Antara gejala-gejala Syiah yang timbul akibat dari fahaman dan ajaran Syiah ini ialah:

1- Adanya usaha menghantar pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke Iran.
2- Wujudnya kes kahwin mutaah.
3- Meluasnya penyebaran buku-buku Syiah.
4- Wujudnya sokongan dari golongan tertentu kepada pengaruh Syiah.

Sekian, hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz

Layari http://penerangandandakwah.blogspot.com


Posted via Blogaway

Tuesday, 12 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 5

Aqidah Syiah ???

Lima perkara menjadi rukun kepercayaan atau usuluddin bagi Mazhab Syiah:

1) Tauhid    - Allah SWT itu Maha Esa
2) `Adalah  - Allah SWT itu Maha Adil
3) Qiyamah - Allah SWT akan membangkitkan manusia untyuk pengadilan di Hari Kiamat
4) Nubuwwah - Nabi dan Rasul yg maksum dilantik oleh Allah untuk mengajar dan membimbing manusia. Muhammad saw merupakan Nabi dan Rasul akhir zaman.
5) Imamah - Allah melantik orang yang tertentu sebagai pemimpin umat manusia. Umat manusia sentiasa ada seorang Imam dan hanya seorang Imam sahaja boleh wujud pada bila bila masa. Sesetengah Rasul adalah Imam. Contohnya, Nabi Ibrahim a.s. merupakan seorang Nabi, Rasul dan Imam. Sebaliknya tidak semua Imam adalah Nabi atau Rasul. Contohnya, Imam Ali, yang bukannya seorang Rasul atau Nabi tetapi Imam.

Perbezaan antara Syiah dan Sunni boleh dilihat pada perkara-perkara berikut:

1- Perlantikan Khalifah diwasiatkan secara nas bukan perlantikan atau pemilihan.
2- Imam adalah maksum berdasarkan firman Allah.
3- Ali adalah pemimpin umat Islam setelah wafat Rasulullah saw.
4- Mencela para sahabat Nabi dan ummahatul mukminin.
5- Menghalalkan nikah Mutaah yang diharamkan oleh Islam.
6- Menolak beberapa ijmak ulama yang tidak bertanggungjawab.
7- Menolak Qiyas.
8- Menerima hadis yang diriwayatkan sebahagian Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun mengatakan para sahabat yg merawikan hadis itu kafir.
9- Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan.

Sembilan perbezaan ini, akan dihuraikan satu persatu pada siri-siri yang berikutnya insyaAllah.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Untuk siri sebelum ini layari
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Monday, 11 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 4

Aliran Syiah

Aliran Syiah berpecah kepada beberapa cabang. Namun, beberapa cabang yang utama pada masa kini mempunyai pengikut yang ramai. Aliran Syiah yang paling terkenal dan terbesar ialah:

1) Golongan Syiah Imam Dua Belas

Golongan ini dikenali sebagai Syiah Imam 12 (Ithna `Asyariyah) atau Imamiah atau Jaafariyyah yang merangkumi 90% penduduk Iran, 60% penduduk Iraq, segelintir di Afghanistan, Pakistan, Lubnan dan Syiria.

2) Golongan Syiah Zaidiyah

Golongan ini dikenali dengan nama Syiah Imam Lima yang berkembang sekitar 40% di Yaman.

3) Golongan Syiah Ismailiyah

Golongan ini dikenali dengan Syiah Imam tujuh yang mempunyai pengikut dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syiria dan Timur Afrika.

4) Golongan Syiah Batiniyah

Seperti kelompok Alawiyah dan Druze juga menganggap diri mereka sebagai Syiah meskipun tidak diiktiraf oleh Syiah yang lain. Kelompok Alawi dan Druze ini adalah golongan yang tidak bersolat, tidak mempunyai masjid di penempatan mereka dan tidak melaksanakan amalan Islam. Mereka dianggap murtad dan kafir dari agama Islam oleh ulama Sunni.

5) Golongan Tarekat-Tarekat Sufi Beraliran Syiah

Tarekat Alevi, Bektashi, Hamadani dan Fatimiyyah. 20% dari penduduk Turki mengikut Tarekat Alevi sementara Lubnan dan Syiria pula mempunyai  bilangan besar golongan Druze dan Alawi.

Syiah Imamiah Ithna `Asyariyyah ialah Syiah yang mempercayai 12 orang Imam yg dilantik oleh Allah secara berterutun adalah seperti berikut:

1- Ali bin Abi Tolib (wafat 40H)
2- Hasan bin Ali (wafat 50H)
3- Husain bin Ali (wafat 61H)
4- Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94)
5- Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117)
6- Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148H)
7- Musa al-Kazim bin Jaafar as-Sadiq (wafat 183H)
8- Ali ar-Ridha bin Musa al-Kazim (wafat 202H)
9- Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220H)
10- Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254H)
11- Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260H)
12- Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260H)

Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi saw telah mewasiatkan keturunannya menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu dibawah seorang imam.

Ijtihad kebanyakan ulama sunni terhadap Syiah yg menyeleweng ialah golongan syiah daripada Imamiyah/Jaafariyyah dan Zaidiyyah yg diringkaskan sebagai GHULAT kerana mendewakan Ali sebagai Tuhan dan para imam mereka sebagai maksum.

Imam Ghazali dalam bukunya Mustazhir menentang keras fahaman Syiah kerana ia mengandungi pengajaran Batiniyah.

Manakala Imam Jaafar al-Sadiq iaitu generasi keenam keturunan Ali bin Abi Tolib sendiri menyatakan Syiah tidak boleh dikahwini kerana AKIDAH MEREKA BERTENTANGAN DGN AL-QURAN DAN HADIS. Namun, golongan Syiah Imamiyyah tetap menganggap imam jaafar al-Sadiq sebagai imam keenam bagi umat Islam, walaupun beliau tidak mengakuinya dan menerima baiah mereka.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Sunday, 10 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 3

Sejarah Syiah...

Sejarah permulaan mazhab syiah ini boleh diringkaskan kepada dua pendapat yang menjelaskan kewujudan aliran syiah ini sehingga kini.

1) Pendapat pertama mengatakan ketika berlakunya perang Siffin diantara Ali r.a. dan Muawiyah r.a. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan bahawa pengikut Ali r.a beraliran syiah, manakala pengikut Muawiyah pula beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun demikian ia bukanlah begitu sebenarnya. Ijtihad yang dinyatakan bahawa pengikut Ali r.a. beraliran syiah didapati tidak benar dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih cenderung kepada Ali r.a.

2) Pendapat kedua mengatakan kemunculan syiah setelah kematian Husain bin Ali r.a. ketika beliau keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq di sana nanti. Namun, penyokong beliau di Iraq mengkhianatinya kerana takutkan pihak kerajaan menyerang mereka dan mereka membiarkan Husain dengan penyokongnya terkepung oleh tentera kerajaan dan menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.

Akibat daripada tragedi pembunuhan itu, muncul sekelompok muslim menuntut agar pembunuhan tersebut dituntut bela. Ada pula sekelompok yang lain menghukum kelompok ini kafir kerana sudah terkeluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Lalu berlakulah pergaduhan dan menyebabkan beberapa orang dari kalangan penyokong Husain terbunuh dan mereka digelar sebagai syiah.

Ini secara tidak langsung menjelaskan hubungan kuat antara syiah dan Husain r.a. berbanding Ali r.a. sendiri. Ini ternyata apabila para pengikut syiah seringkali menyambut 10 Muharram sebagai memperingati hari kematian Husain disambut dengan begitu semangat dan meriah, malangnya tidak pula mereka menyambut hari kematian Ali r.a.

Akibat dari peristiwa itu, wujud golongan yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah dan mazhab fiqh mereka, masih tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka adalah pemimpin awal syiah yang masih berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Data 2012 bilangan pengikut Sunni dan Syiah di beberapa buah negara adalah seperti berikut:

1} Iran: 70 juta penduduk, Sunni 10% dan Syiah 89%
2} Arab Saudi: 26 juta penduduk, Sunni 89% dan Syiah 10%
3} Iraq: 25 juta penduduk, Sunni 32% dan Syiah 65%
4} Kuwait: 2.2 juta penduduk, Sunni 60% dan Syiah 25%
5} Bahrain: 678 ribu penduduk, Sunni 30% dan Syiah 70%
6} Yaman: 20 juta penduduk, Sunni 70% dan Syiah 30%
7} Azerbaijan: 7.8 juta penduduk, Sunni 29% dan Syiah 67%
8} Syria: 18 juta penduduk, Sunni 74% dan Syiah 16%
9} Lubnan: 3.7 juta penduduk, Sunni 23% dan Syiah 38%
10} Pakistan: 159 juta penduduk, Sunni 77% dan Syiah 20%
11} Turki 68.8 juta penduduk, Sunni 85% dan Syiah 13%
12} Afghanistan 28.5 juta penduduk, Sunni 84% dan Syiah 15%
13} Emiriah Arab Bersatu: 2.5 juta penduduk, Sunni 81% dan Syiah 15%

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 2

Siapakah Syiah dan bagaimana ia wujud dan berkembang ???

Syiah ialah golongan yang mendakwa Ali bin Abi Tolib lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mereka mengkafirkan kesemua sahabat kecuali beberapa orang sahaja.

Ajaran syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh-musuh Islam. Ajaran syiah telah diwujudkan oleh seorang yahudi yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba` .

Abdullah bin Saba` adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman. Berpura-pura memeluk Islam di zaman khalifah Uthman bin Affan r.a. Dia telah mereka ajaran syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Abdullah bin Saba` pernah mengungkapkan ucapan ditujukan kepada Saidina Ali r.a. : " ENGKAULAH ALLAH " Maka Saidina Ali r.a. telah mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba` tetapi ditegah oleh Ibnu Abbas r.a. lalu ia dibuang daerah ke Madain (ibu negara Iran lama).

Abdullah bin Saba` lah orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait. { rujuk kitab: أصول المذاهب الشيعة الإمامية الإثنى عشرية }

Penganut syiah sering mengatakan: " Salahkah kami mencintai Ahli Bait ? " Lalu kita jawab: Tidak salah anda mencintai mereka, tapi yang salahnya apabila kamu mengkafirkan para sahabat Nabi saw yang lain !!! kenapa???

Sedangkan Nabi saw bersabda:

لا تسبوا أصحابي فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه

Artinya: Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku karana seandainya seseorang dari kamu bersedekah dengan emas seukuran Gunung Uhud maka (pahalanya) tidak dapat menyamai infaq para sahabatku dengan ukuran 1 mud (tukaran untuk dua gengaman tangan normal) ataupun setengahnya. (riwayat Bukhari)

Shahril Azman Abd Halim Al-hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws. K.Krau

Saturday, 9 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 1

Muqaddimah:

Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Syiah beramal dengan Islam berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi saw dan ahlul baitnya. Malahan syiah turut menolak kepimpinan dari tiga orang khalifah yang pertama, bahkan sebahagian mereka menghina para khulafa` ar-rasyidin yang merupakan sahabat Rasulullah saw.

Muzakarah khas jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan yang bersidang pada 5 May 1996 telah memutuskan bahawa:

1) Memansuhkan / membatalkan fatwa terdahulu yang diputuskan pada 25 September 1984 mengenai aliran syiah. Pada waktu itu jawatankuasa fatwa memutuskan bahawa hanya mazhab syiah dari golongan Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia. (TELAH DIMANSUHKAN)

2) Menetapkan bahawa hanya ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja boleh diamalkan di Malaysia.

3) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

4) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws.  Kuala Krau.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...