Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Thursday, 2 October 2014

KERAJAAN YG BOROS BERBELANJA RAKYAT YG MENANGGUNG BEBAN


1) Anas bin Malik berkata: Harga barang telah menjadi mahal di Madinah suatu ketika dizaman Nabi saw. Maka org ramaipun berkata;  Wahai Rasulullah!  Harga barang telah mahal, tetapkan harga utk kami. Jawab Rasulullah saw, sesungguhnya Allah Dialah yg menetapkan harga, yg menyempit dan melimpahkan kurniannya, yg maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap utk menemui Allah dlm keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yg menuntut daripadaku haknya yg dizalimi samaada pada darah atau harta. (riwayat abu daud )   

Hadis anas bin malik ini  adalah hadis soheh.

2) Menggunakan hadis di atas untuk menyokong kenaikan harga barang adalah kurang tepat. Kena rujuk tafsiran hadis tersebut terlebih dahulu.

3) Sebagai contoh, jika seseorang pergi ke kedai, lalu penjual menjual barang dgn harga yg mahal, maka adakah dia boleh mengatakan;  Allah yg menaikkan harga bukan saya?!

4) Dalam hadis tersebut nabi enggan menetapkan atau mengawal harga barang kerana bimbang akan menzalimi peniaga.

Ini sangat sesuai dgn keadaan peniaga dizamannya, keadaan barangan yg diniagakan dan juga bentuk perdagangan yg ada ketika itu.

5) Namun apabila zaman berubah, sikap peniaga berubah, keadaan pasaran berubah, jika kawalan harga barang tidak diwujudkan maka para pembeli pula yg akan menjadi mangsa.

6) Isu hari ni ialah, penarikan subsidi keatas pengguna teramai 28 juta rakyat,  (subsidi minyak) dalam keadaan kerajaan masih memberi subsidi kepada kroninya yg hanya dua tiga orang yg  sememangnya dah kaya seperti subsidi RM17 bilion lebih kurang setahun  kepada syarikat Penjana Bebas.

7) Apabila kerajaan tarik subsidi minyak 20 sen maka rakyat teramai khususnya yg berpendapatan rendah terpaksa membayar harga minyak dgn harga yg tinggi.

8) Lebih lebih lagi yg paling membebankan rakyat ialah kesan berantai dari kenaikan harga minyak tersebut. Seperti kenaikan tarif letrik 15% seawal januari tahun hadapan, cukai gst yg bakal dilaksanakan April 2015 nanti.

9) Isunya disini ialah, kerajaan yg boros berbelanja tetapi rakyat yg terpaksa menanggung bebannya.

Sekian...wallahu a'lam
Shahril Azman


Thursday, 24 April 2014

GST: HAIRAN!!!MENGAPA MELAYU SOKONG SESUATU YANG MEREKA KENA BAYAR

Minggu lepas  7 April 2014 Parlimen telah meluluskan cukai terbaru yang dikenali dengan GST yang akan dilaksanaka pada 1 April 2015. Kelulusan perlaksanaan ini diperolehi apabila 118  ahli Parlimen BN terutamanya dari MP melayu UMNO menyokong sepenuhnya rang undang-undang tersebut setelah dibahaskan selama dua hari.

Saya sangat hairan macam mana MP melayu dari UMNO boleh sokong GST dan menganggap bahawa cukai yang dikenakan ke atas semua pengguna dikira sesuatu yang baik dan mendatangkan manfaat!!! Dan lagi menghairankan saya mengapa orang Melayu khususnya golongan yang relatif miskin dalam negara ini pun menyokong dan menerima GST sebagai sesuatu yang bagus!!!

Kesimpulannya, mereka suka jika mereka kena bayar. Maka kerana itulah antara sebab PR kalah dalam PRU13 yang lalu kerana mereka berdepan dengan melayu yang mentalitinya begini. PR nak hapuskan TOL, mereka taknak sebab mereka nak bayar TOL, lagi naik lagi bagus. PR nak turun harga minyak, mereka taknak sebab mereka nak bayar, lagi mahal lagi bagus. PR nak bagi pendidikan percuma, mereka taknak sebab mereka nak bayar, lagi ada cas lagi bagus dan begitulah seterusnya.

GST hanya bagus kepada kerajaan, kerana mereka dapat kutip lebih banyak hasil.  Ketua setiausaha kementerian kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar mengatakan kerajaan dijangka meraih pendapatan cukai barangan dan perkhidmatan GST mencecah RM23.18 bilion bagi tempoh sembilan bulan selepas ia dilaksanakan iaitu dari April hingga Disember 2015 dan RM32 bilion bagi keseluruhan 2016. Sebaliknya jika kerajaan meneruskan cukai jualan dan perkhidmatan SST pada 2015, maka kerajaan hanya dapat meraih pendapat RM14.8 bilion sahaja.

Menurut kerajaan BN, bila kerajaan dapat hasil banyak maka banyaklah perbelanjaan akan dilakukan untuk kepentingan rakyat, maka rakyat jugalah yang akan mendapat manfaatnya. BENARKAH BEGITU???

Ini pendustaan yang paling besar. Cuba kita lihat apa yang dibelanjakan oleh kerajaan BN. Mereka belanja atas projek yang mengkayakan kroni. Lebih banyak ada wang dalam tangan, maka lebih besar belanja dari pendapatan. Belanja berhemah dan cermat tidak ada dalam kamus BN dan UMNO. Lagi banyak duit dalam tangan, lagi boroslah mereka, lebih besar samun, rompakan dan ketirisan yang dilakukan.

Setiap tahun kerajaan belanja melebihi pendapatan sehingga menyebabkan hutang makin banyak. Selama 16 tahun lebih kerajaan Malaysia yang diurus oleh pemimpin BN mengalami defisit tiap-tiap tahun. Makin besar pendapatan maka makin besarlah hutang yang akan dibuat, apatah lagi PM Najib dinobatkan sebagai PM nombor lima dalam dunia paling boros menurut sebuah portal dari Indonesia.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran. Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi? Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil  tak guna perbelanjaan tinggi.

Pemimpin BN yang boros dan buat hutang, rakyat yang kena tanggung melalui cukai GST yang akan dilaksanakan kelak. Oleh itu saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia kita turun ke KL pada 1 Mei ini bagi membantah perlaksanaan GST yang mengsengsarakan rakyat dan menguntungkan pelahap.

Sekian, wassalam.

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.
Pengerusi Lajnah Dakwah Negeri Pahang.


Posted via Blogaway

Wednesday, 26 February 2014

NAJIB, PM MALAYSIA PALING BOROS

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tersenarai dalam carta ‘top 5′ pemimpin dunia yang berbelanja paling boros, menurut portal Indonesia. Portal tersebut, Merdeka.com pada 21 Februari lalu melaporkan, Majalah The Heat di Malaysia pada November tahun lalu menerbitkan laporan tentang pembiayaan boros perjalanan ke luar negeri Najib Razak dan bayaran lembaga konsultannya dengan menghabiskan dana sebesar Rp 2,5 triliun. Najib Razak juga turut dilaporkan sebaris dengan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang dilaporkan akan merayakan ulang tahun ke-90 pada tahun ini dengan biaya Rp 11,8 miliar. Bagaimanapun, laporan bertajuk ‘PM Malaysia Najib Razak habiskan Rp 2,5 triliun buat ke luar negeri’ beserta dengan gambar Najib itu tidak lagi boleh diakses pada hari ini.
Sikap dan amalan seumpama ini akan menghancurkan negara disebabkan keadaan  kondisi negara ketika ini sedang menanggung bebanan hutang  yang buat pertama kalinya mencecah 55% KDNK tahun ini, berbanding 45% dalam tahun 2009 , meningkatnya kadar pengangguran setiap tahun dan lambatnya pertumbuhan ekonomi.
Islam mengajar kita supaya bersikap sederhana dalam berbelanja dan melarang dari sikap boros dan berlebih-lebihan, sebagaimana firman Allah:
وكلوا واشربوا ولا تسرفوا إنه لا يحب المسرفين
Artinya: Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-Aa`raf:31)
Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:
ولا تبذر تبذيرا إن المبذرين كانوا إخوان الشياطين
Artinya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan. (al-Isra`:26,27)
Contohilah sikap bekas Menteri Besar Kelantan Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat yang tidak mengambil sesen pun elaun rumah dan elaun keraian selama 22 tahun menerajui Kelantan. Sebaliknya duit itu diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dimanafaatkan dan dinikmati oleh rakyat. Bayangkan selama 22 tahun dengan jumlah yang menjangkau jutaan ringgit elaun yang tidak dituntut sudah pasti ramai rakyat terutama golongan miskin yang mendapat faedahnya.
Kita juga didedahkan dengan sikap yang patut menjadi amalan dan ikutan pemimpin BN lain seperti yang ditunjukkan oleh al-marhum bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar.
Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas. Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ini tidak, nak potong elaun menteri dan timbalan menteri 10% pun riuh rendah seluruh negara. Ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Sebaliknya apa yang diambil sama ada secara sah atau pun sebaliknya tidak pula diheboh-hebohkan. Berita dan maklumat terdapat 10 orang ahli parlimen BN yang membuat tuntutan hampir RM 1 juta seorang seperti yang pernah didedahkan di parlimen menjadi bukti betapa buas dan rakusnya pemimpin BN menggunakan wang rakyat sesuka hati. Ada juga dikalangan pemimpin BN yang berbelanja ratusan ribu hanya untuk menyambut hari jadi semata-mata.
Saya yakin dan percaya, negara akan maju dan selamat jika kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang amanah dan tidak boros dalam membelanjakan harta rakyat. Namun jika rakyat terus memilih pemimpin-pemimpin yang boros dan rakus membelanjakan harta negara, maka rakyat telah meletakkan negara berada dalam kedudukan bahaya dan seterusnya merugikan rakyat.
Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.
Pengerusi Lajnah Dakwah Negeri Pahang.
Layari:  penerangandandakwah.blogspot.com

Posted via Blogaway

Thursday, 12 December 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 9

Jawapan Penyelewengan Aqidah Syiah Yang Pertama
(Khalifah atau Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan)

Syiah menganggap bahawa Saidina Ali dan 12 keturunannya adalah Imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah saw dan mengatakan bahawa Saidina Ali lah yang lebih layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw kerana dia sudah dinaskan.

Bagi menjawab persoalan ini, maka saya kemukakan beberapa hujjah berdasarkan kepada nas-nas yang soheh seperti berikut:

Hujjah 2:

Antara dalil yang diguna pakai oleh Syiah dalam bab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Samurah r.a...

عن جابر بن سمرة قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول يكون اثنا عشر أميرا فقال كلمة لم أسمعها فقال أبي إنه قال كلهم من قريش

Daripada Jabir bin Samurah Katanya: Aku dengar Nabi saw bersabda: Islam akan berada dalam keadaan kuat sehinggalah kepada 12 orang Imam. Lalu Nabi menyebut sesuatu yang aku tidak dengar, lantas aku bertanya kepada ayahku tentang apa yang diucapkan Nabi.  Ayahku menjawab: Nabi kata: 12 orang imam itu semuanya berketurunan Quraish.

Maka Syiah mengatakan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib lah yang paling layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw, kerana beliau telah ditentukan secara Nas dan 12 orang keturunannya selepasnya. Sedangkan Abu Bakar, Umar dan Osman ditentukan secara lantikan.

Jawapannya: Hairan! Mengapa Syiah menggunakan hadis ini sebagai hujjah?! Sedangkan hadis ini adalah hadis yang paling kuat menolak dakwaan mereka. Bagaimana?

1)  Syiah menganggap bahawa 12 Khalifah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah anak-anak keturunan Saidina Ali r.a. Sedangkan kita semua mengetahui bahawa tiada seorangpun anak cucu Saidina Ali r.a. menjadi Khalifah melainkan Saidina Ali r.a. sahaja. Bahkan anaknya Saidina Hasan pun tidak pernah menjadi Khalifah, kerana yang jadi Khalifah di zamannya adalah Muawiyah r.a.

Maka bagaimana Syiah boleh menjadikan hadis ini sebagai dalil bagi pihak mereka! Sedangkan tiada seorangpun keturunan Saidina Ali menjadi Khalifah? Ini menunjukkan bahawa hadis ini adalah dalil bagi pihak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana 4 orang Khulafa` yang awal adalah berketurunan Quraish, kemudian selepas mereka jawatan Khalifah ini disambung oleh keturunan Quraish seperti Muawiyah dan seterusnya...Maka ia lebih tepat dengan kehendak hadis diatas yang mengatakan bahawa Islam kuat dibawah kepimpinan 12 orang Khalifah dari keturunan Quraish, bukannya dari keturunan Saidina Ali r.a.

2) Syiah mendakwa bahawa 12 orang Imam tersebut telah dinaskan dan dita`yinkan nama mereka oleh Rasulullah saw. Sedangkan dalam kumpulan Syiah sendiri berbeza pendapat dalam menyatakan nama-nama Imam 12 tersebut! Sebahagian Syiah menjadikan anak-anak Saidina Husin hingga Jaafar sebagai Imam. Syiah Imamiah pula menjadikan Musa bin Jaafar sebagai Imam. Syiah Ismailiyyah pula menjadikan Ismail bin Jaafar sebagai Imam. Sebahagian Syiah pula menjadikan Muhammad bin al-Hanafiah sebagai Imam dan begitulah seterusnya berlaku perbezaan pendapat di kalangan Syiah sendiri.

Sedangkan hadis ini tidak menamakan dan menta`yinkan siapakah 12 orang tersebut, Ia hanya menyatakan bahawa 12 Imam itu dari keturunan Quraish. Hairan! Bagaimana Syiah boleh kata 12 orang Imam itu adalah keturunan Saidina Ali r.a. ? Atas asas apa mereka mengatakan begitu? Tiada sebarang dalil yang  dikemukakan untuk menguatkan hujjah mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka telah melakukan pembohongan yang besar.

Sekian, semoga bermanfaat

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
AJK Dewan Ulama Negeri Pahang.
Ketua Penerangan Kawasan Kuala Krau

Tuesday, 3 December 2013

DR M LETAK JAWATAN PENASIHAT PETRONAS - RAKYAT SAMBUT BAIK


Pertubuhan R (ROYALTI) menyifatkan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Muhammad selaku Penasihat Petronas sebagai khabar yang amat mengembirakan bagi seluruh rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum seperti Kelantan,  Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kini rakyat mengharapkan suatu lembaran baru dalam industri petroleum negara.

Rentetan pendedahan yang dibuat oleh Majlis Tindakan  Melayu (MTEM) berkenaan dasar Petronas yang tidak membela ekonomi orang-orang Melayu, R menegaskan sekali lagi, bahawa kami amat menyokong dan bersetuju dengan pendedahan dan fakta-fakta yang ditunjukkan.

Semasa era pemerintan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai Perdana Menteri Malaysia selama lebih 20 tahun dan diteruskan lagi legasi penguasaan Tun Dr Mahathir Muhammad di dalam Petronas sebagai Penasihat Petronas selama lebih 10 tahun. Selama tempoh lebih 30 tahun tersebut, bukan sahaja umat Melayu yang menjadi mangsa dianak tirikan oleh pihak Petronas,  tetapi sebenarnya seluruh rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum dinafikan hak untuk menerima pembangunan dan manfaat kekayaan negeri mereka seperti yang sepatutnya lantaran penafian hak bayaran royalti sebagaimana perjanjian. 
Di antara negeri-negeri tersebut, negeri Kelantan adalah negeri yang paling malang sedangkan Kelantan adalah satu-satunya negeri yang populasi penduduknya lebih 95% adalah kaum Melayu dan beragama Islam.
Tanpa menafikan perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh pihak Petronas di bawah Penasihat sebelum ini, fakta membuktikan bahawa selama ini :-

1. Petronas melanggar Perjanjian Petroleum dengan Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975. Antara perkara paling penting di dalam perjanjian-perjanjian  tersebut adalah:-

i. Petronas wajib membayar Royalti sebanyak 5% daripada nilai pengeluaran dan ianya perlu dibayar 2 kali setahun kepada negeri-negeri pengeluar petroleum. 
ii. Tunggakan bayaran royalti untuk negeri Kelantan kini telah mencecah lebih RM12 billion (RM 12 ribu juta).

2. Penafian dari sudut hak untuk mengembangkan ekonomi negeri. Petronas telah melarikan hasil bumi Kelantan ke negeri-negeri lain. Rakyat Kelantan tuntut hasil bumi mereka untuk didaratkan dan diproses di bumi mereka.

i. Daratkan Gas dan Minyak milik Kelantan ke Bachok yang jaraknya dari pelantar adalah lebih dekat iaitu hanya 180KM sahaja berbanding jarak ke Kerteh, Terengganu sejauh 320KM.
ii. Daratkan gas dari kawasan Joind Development Area (JDA) ke Bachok, Kelantan dan bukannya ke Chenai, Shongkhla, Thailand yang jaraknya sejauh 220KM. Yang menyedihkan adalah gas ini kemudiannya disalurkan kembali ke Malaysia iaitu di Gurun,  Kedah dengan kos yang berlipat kali ganda berikutan jaraknya yang terlalu jauh.
iii. Daratkan Gas Kelantan di North Malay Basin yang ingin didaratkan ke Tg Agas, Pekan, Pahang.

Pada masa yang sama juga Pelaburan RM16 Billion oleh Petronas dan syarikat Carigali Hess untuk membina infrastruktur baharu di Kemaman, Terengganu dan Gebeng, Pahang bagi memproses  Gas yang disedut dari perairan Kelantan.

Industri petroleum negara diburukkan lagi dengan pengusaan dan monopoli keluarga Tun Dr Mahathir. Kehadiran syarikat-syarikat minyak milik keluarga Tun Dr Mahathir telah merampas banyak kerja-kerja yang dahulunya dikuasai oleh Petronas.

i. Mokhzani, abang kepada Mukriz. Naib Presiden Sapura Kencana Petroleum Bhd mendapat kontrak pengeluaran gas di Medan Kamelia, 150km dlm perairan Kelantan berhampiran Medan Cakerawala. Gas itu pula disalurkan ke Songkla, Thailand dan terus ke tempat adiknya. Di Parlimen Gurun.
ii. Mirzan Tun Dr Mahathir yang memiliki syarikat Petron pula menguasai bidang peruncitan minyak melalui pengambilalihan stesen-stesen minyak Esso dan Mobil.


Pihak R mengharapkan terbentuknya sautu lembaran baru lanskap politik Kelantan, susulan perjumpaan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri. Tambahan pula dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas; R mengharapkan perkembangan yang baik di dalam industri petroleum dan pihak Petronas berupaya menjalankan segala tanggung jawapnya di dalam pembangunan ekonomi kaum Melayu dan Bumiputra.  Pihak Petronas seharusnya meneliti kembali segala tanggung jawapnya dari segi undang-undang sebagaimana telah termaktub di dalam perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani dengan semua pihak terutama sekali dalam soal bayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar petroleum yang sembenarnya menjadi tuan kepada hasil petroleum yang dihasilkan tersebut. Pastinya semua rakyat Malaysia mengharapkan agar pihak Kerajaan Persekutuan melantik seorang Penasihat baharu yang benar-benar layak.

Pihak R mencadangkan YBM Tg Razaligh Hamzah dilantik sebagai Penasihat Petronas bagi menggantikan Tun Dr Mahadir. YBM Tg Razaligh Hamzah merupakan antara pengasas awal penubuhan Petronas, malahan YBM Tg Razalight merupakan Pengerusi Pertama Petronas. Di samping itu beliau merupakan arkitek (pereka dan perancang utama) kepada pembentukan Akta Kemajuan Petroleum 1974. Penglibatanya di dalam industri Petroleum negara terbukti apabila beliau juga adalah orang yang terlibat secara langsung dalam perjanjian (menandatangani) di antara Petronas dengan negeri-negeri di Malaysia.
Beliau juga dipertanggungjawabkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ( Ayahnda Perdana Menteri Malaysia sekarang) untuk berunding dengan semua Menteri - Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi menyerahkan hak mencari gali dan mengeluarkan petroleum kepada pihak Petronas (sebelum ini mengikut  Kanun Tanah Negara hak ini adalah di bawah bidang kuasa negeri) dengan balasan adalah bayaran royalti kepada kerajaan negeri-negeri yang mengeluarkan petroleum.

"TUNTUT ROYALTI HAK RAKYAT"

Nazri Deraman
Presiden R

Wednesday, 27 November 2013

KEMPEN AWAL KEARAH PERLAKSANAAN CUKAI GST

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana, katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat, kita tanamkan semangat ini,  dengan ini negara kita akan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 24 November 2013.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.
"Kebaikannya ialah kita akan mempunyai sumber kewangan dan hasil yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negara dan rakyat akan lebih bahagia kerana berdasarkan sumberlah, negara akan menjadi maju," katanya. Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.
PAS melihat Najib telah memulakan kempen awalnya supaya rakyat menerima perlaksanaan cukai GST apabila ia dilaksanakan April 2015 nanti. Beliau berhujjah dengan mengatakan:
1- Siapa tak bayar cukai dianggap pengkhianat negara.
2- Sesiapa bayar cukai, maka terbuktilah dia mempunyai semangat patriotisme.
3- Cukai akan meningkatkan pendapatan negara.
4- Negara akan menjadi maju apabila mempunyai sumber pendapatan yang banyak.
Najib hanya nampak siapa tak bayar cukai adalah pengkhianat negara tapi Najib tidak sedar bahawa pengkhianat sebenar ialah mereka yang tidak amanah membelanjakan duit pembayar cukai.
Nampaknya kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Najib Razak tidak mendapat pertolongan dari Allah, Allah membiarkannya berfikir sendiri untuk menyelesaikan masalah hutang negara. Beliau tidak nampak cara lain bagaimana meningkatkan pendapatan negara dan membayar hutang sehingga terdesak membebankannya ke atas bahu rakyat melalui cukai GST yang akan dilaksanakan. Seolah-olah kerajaan dibawah pimpinan Najib Razak sudah kekeringan idea dan tidak nampak cara lain melainkan CUKAI semata-mata.
Kekeringan idea ini terjadi kerana kemenangan BN dalam beberapa PRU bukan melalui sistem dimokrasi yang telus tetapi melalui penipuan dan penyelewengan. Apabila jawatan yang dimiliki itu melalui cara yang tidak betul, maka Allah berlepas diri dari pemerintahan mereka. Oleh itu benarlah sabda Nabi saw:
قال عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ  قَالَ النَّبِىُّ  صلى الله عليه وسلم  « يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ ، فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا ، وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا (متفق عليه)

“Berkata Abdul Rahman bin Samurah, Nabi saw bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan kamu minta jawatan, kerana sesungguhnya jika kamu diberi jawatan dengan sebab kamu minta maka kamu sahaja yang diwakilkan kepada jawatan tersebut (tanpa mendapat bantuan dari Allah dalam menunaikan segala tanggungjawab). Sebaliknya, jika kamu diberikan jawatan bukan kerana kamu minta, nescaya kamu akan dibantu oleh Allah dalam menunaikan tanggungjawab kepimpinan tersebut. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Saya telah sebut dalam artikel yang lalu supaya kerajaan selesaikan dahulu ketirisan, pemborosan, penyelewengan, rasuah, pembayaran gaji melampau, pembaziran dan sebagainya dalam mengurus harta negara, sebelum mengenakan cukai kepada rakyat. Kerana Islam telah meletakkan beberapa syarat penting bagi membolehkan pengambilan cukai daripada rakyat, ini kerana hukum asalnya  adalah haram berdasarkan sabda Nabi saw:
إِنَّ صَاحِبَ المَكْسِ فِى النَّارِ
“Sesungguhnya pengambil cukai di dalam neraka” (riwayat Ahmad)
Bahkan telah dibahas didalam kitab-kitab feqah Islam tentang tegahan mengambil cukai. Imam Ibnu Hajar as-Syafie mengatakan: “Cukai itu adalah sejahat-jahat mungkar, bahkan ia suatu dosa besar”   (الزواجر لإبن حجر) 
Laporan Audit 2012 telah mendedahkan beberapa penyelewengan dan kelemahan pengurusan kerajaan yang merugikan kantong Negara sehingga menyebabkan hutang melangit tinggi, antaranya:
1) Jam dinding harga sebenar hanya RM100 tapi kerajaan beli dengan harga RM3,810 beli sebanyak 20 buah . Sepatut bayar RM2000 sahaja tapi kerajaan bayar RM76,200 maka rugi duit Negara sebanyak RM74,200
2) Pengimbas bersaiz A4 (Scaner) harga sebenar hanya RM200 tapi kerajaan beli dengan harga RM14,300 beli sebanyak 3 buah. Sepatut bayar RM600 sahaja tapi kerajaan bayar RM42,900 maka rugi duit Negara sebanyak RM42,300
Dua contoh ini sahajapun, jika kerajaan amanah menjalankan tugas maka Negara boleh jimat sebanyak RM116,500 tapi ia berlaku sebaliknya. Maka sebab itulah setiap tahun kantong Negara rugi sebanyak RM20 bilion lebih.
Tiba-tiba rakyat yang terpaksa tanggung kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab melalui cukai GST. !!! JOM BANTAH GST DAN TUMBANGKAN BN
Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz

Tuesday, 12 November 2013

MEMBONGKAR PENYELEWENGAN BN BAB 1

Salah guna dana rakyat RM250 juta oleh NATIONAL FEEDLOT CORPORATION SDN BHD (NFC)

11 NOVEMBER 2013: Kes saman RM100 juta Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadap Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut tanpa sebarang syarat.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka mengenai projek NFC.
Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu  berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diucapkan bekas menteri tersebut.

Langkah itu diambil untuk memastikan kes melibatkan syarikat NFC yang diusahakan keluarga menteri itu terus DIBAWA KE MAHKAMAH (Tiba tiba Shahrizat tarik balik, Hairan!!!kenapa tarik? tanpa sebarang syarat pulak tu?).

Saman balas itu diambil kerana khuatir pihak plantif mungkin mengambil keputusan melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Penyelewengan wang rakyat NFC terbongkar selepas laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2010. Dana wang rakyat yang diperuntukkan kepada NFC sebanyak RM250 juta adalah supaya ternak lembu bagi menampung bekalan daging negara mencukupi. Tetapi NFC telah selewengkan dana tersebut kepada perkara-perkara berikut:

1- Membeli 2 unit kondominium bernilai RM13.9 juta
2- Menunai umrah
3- Melabur kesimpanan tetap
4- Melancung ke luar negara seperti Indonesia & Thailand dengan kos  RM455,423  , 15 cek dikeluarkan antara Jan – July kepada Impian Global  Networks Services (IGNS) ialah syarikat yang menawarkan percutian pakej percutian ke Bandung, Kuching, Phuket
5- Membeli Mercedes Benz berharga RM534,622 pada 9 Dic 2009 kos penyelenggaraannya setiap bulan lebih kurang RM20,000
6- RM3,363,507 disalurkan kepada National Meat Lives Corporation
    (NMLC) untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya pada 2009
7- 21 July 2010 NFC memindahkan RM588,585 secara terus ke akaun milik Meatworks (Singapore) milik suami Shahrizat yg membekal daging ke restoran negara Singapore – Sdgkan tiada kena mengena syarikat ini  dgn NFC

Namun Sharizat Jalil tetap menang dalam pemilihan wanita UMNO baru-baru ini, walaupun beliau terpalit dengan berbagai skandel. Itulah hebatnya UMNO...hidup melayu...maka benarlah apa yang disabdakan oleh Nabi saw:

سَيَأْتِى عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ

Akan tiba zaman khianat keatas umatku, pada waktu itu seorang penipu akan dibenarkan manakala seorang yang benar akan dianggap tipu. Dan pada waktu itu juga seorang pengkhianat dikatakan amanah, manakala seorang yang amanah dikatakan khianat...(riwayat Ibnu Majah)

" BERSAMALAH DENGAN ORANG YANG BENAR DAN PRIHATIN "

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Monday, 11 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 4

Aliran Syiah

Aliran Syiah berpecah kepada beberapa cabang. Namun, beberapa cabang yang utama pada masa kini mempunyai pengikut yang ramai. Aliran Syiah yang paling terkenal dan terbesar ialah:

1) Golongan Syiah Imam Dua Belas

Golongan ini dikenali sebagai Syiah Imam 12 (Ithna `Asyariyah) atau Imamiah atau Jaafariyyah yang merangkumi 90% penduduk Iran, 60% penduduk Iraq, segelintir di Afghanistan, Pakistan, Lubnan dan Syiria.

2) Golongan Syiah Zaidiyah

Golongan ini dikenali dengan nama Syiah Imam Lima yang berkembang sekitar 40% di Yaman.

3) Golongan Syiah Ismailiyah

Golongan ini dikenali dengan Syiah Imam tujuh yang mempunyai pengikut dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syiria dan Timur Afrika.

4) Golongan Syiah Batiniyah

Seperti kelompok Alawiyah dan Druze juga menganggap diri mereka sebagai Syiah meskipun tidak diiktiraf oleh Syiah yang lain. Kelompok Alawi dan Druze ini adalah golongan yang tidak bersolat, tidak mempunyai masjid di penempatan mereka dan tidak melaksanakan amalan Islam. Mereka dianggap murtad dan kafir dari agama Islam oleh ulama Sunni.

5) Golongan Tarekat-Tarekat Sufi Beraliran Syiah

Tarekat Alevi, Bektashi, Hamadani dan Fatimiyyah. 20% dari penduduk Turki mengikut Tarekat Alevi sementara Lubnan dan Syiria pula mempunyai  bilangan besar golongan Druze dan Alawi.

Syiah Imamiah Ithna `Asyariyyah ialah Syiah yang mempercayai 12 orang Imam yg dilantik oleh Allah secara berterutun adalah seperti berikut:

1- Ali bin Abi Tolib (wafat 40H)
2- Hasan bin Ali (wafat 50H)
3- Husain bin Ali (wafat 61H)
4- Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94)
5- Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117)
6- Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148H)
7- Musa al-Kazim bin Jaafar as-Sadiq (wafat 183H)
8- Ali ar-Ridha bin Musa al-Kazim (wafat 202H)
9- Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220H)
10- Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254H)
11- Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260H)
12- Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260H)

Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi saw telah mewasiatkan keturunannya menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu dibawah seorang imam.

Ijtihad kebanyakan ulama sunni terhadap Syiah yg menyeleweng ialah golongan syiah daripada Imamiyah/Jaafariyyah dan Zaidiyyah yg diringkaskan sebagai GHULAT kerana mendewakan Ali sebagai Tuhan dan para imam mereka sebagai maksum.

Imam Ghazali dalam bukunya Mustazhir menentang keras fahaman Syiah kerana ia mengandungi pengajaran Batiniyah.

Manakala Imam Jaafar al-Sadiq iaitu generasi keenam keturunan Ali bin Abi Tolib sendiri menyatakan Syiah tidak boleh dikahwini kerana AKIDAH MEREKA BERTENTANGAN DGN AL-QURAN DAN HADIS. Namun, golongan Syiah Imamiyyah tetap menganggap imam jaafar al-Sadiq sebagai imam keenam bagi umat Islam, walaupun beliau tidak mengakuinya dan menerima baiah mereka.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Sunday, 10 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 3

Sejarah Syiah...

Sejarah permulaan mazhab syiah ini boleh diringkaskan kepada dua pendapat yang menjelaskan kewujudan aliran syiah ini sehingga kini.

1) Pendapat pertama mengatakan ketika berlakunya perang Siffin diantara Ali r.a. dan Muawiyah r.a. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan bahawa pengikut Ali r.a beraliran syiah, manakala pengikut Muawiyah pula beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun demikian ia bukanlah begitu sebenarnya. Ijtihad yang dinyatakan bahawa pengikut Ali r.a. beraliran syiah didapati tidak benar dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih cenderung kepada Ali r.a.

2) Pendapat kedua mengatakan kemunculan syiah setelah kematian Husain bin Ali r.a. ketika beliau keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq di sana nanti. Namun, penyokong beliau di Iraq mengkhianatinya kerana takutkan pihak kerajaan menyerang mereka dan mereka membiarkan Husain dengan penyokongnya terkepung oleh tentera kerajaan dan menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.

Akibat daripada tragedi pembunuhan itu, muncul sekelompok muslim menuntut agar pembunuhan tersebut dituntut bela. Ada pula sekelompok yang lain menghukum kelompok ini kafir kerana sudah terkeluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Lalu berlakulah pergaduhan dan menyebabkan beberapa orang dari kalangan penyokong Husain terbunuh dan mereka digelar sebagai syiah.

Ini secara tidak langsung menjelaskan hubungan kuat antara syiah dan Husain r.a. berbanding Ali r.a. sendiri. Ini ternyata apabila para pengikut syiah seringkali menyambut 10 Muharram sebagai memperingati hari kematian Husain disambut dengan begitu semangat dan meriah, malangnya tidak pula mereka menyambut hari kematian Ali r.a.

Akibat dari peristiwa itu, wujud golongan yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah dan mazhab fiqh mereka, masih tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka adalah pemimpin awal syiah yang masih berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Data 2012 bilangan pengikut Sunni dan Syiah di beberapa buah negara adalah seperti berikut:

1} Iran: 70 juta penduduk, Sunni 10% dan Syiah 89%
2} Arab Saudi: 26 juta penduduk, Sunni 89% dan Syiah 10%
3} Iraq: 25 juta penduduk, Sunni 32% dan Syiah 65%
4} Kuwait: 2.2 juta penduduk, Sunni 60% dan Syiah 25%
5} Bahrain: 678 ribu penduduk, Sunni 30% dan Syiah 70%
6} Yaman: 20 juta penduduk, Sunni 70% dan Syiah 30%
7} Azerbaijan: 7.8 juta penduduk, Sunni 29% dan Syiah 67%
8} Syria: 18 juta penduduk, Sunni 74% dan Syiah 16%
9} Lubnan: 3.7 juta penduduk, Sunni 23% dan Syiah 38%
10} Pakistan: 159 juta penduduk, Sunni 77% dan Syiah 20%
11} Turki 68.8 juta penduduk, Sunni 85% dan Syiah 13%
12} Afghanistan 28.5 juta penduduk, Sunni 84% dan Syiah 15%
13} Emiriah Arab Bersatu: 2.5 juta penduduk, Sunni 81% dan Syiah 15%

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 2

Siapakah Syiah dan bagaimana ia wujud dan berkembang ???

Syiah ialah golongan yang mendakwa Ali bin Abi Tolib lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mereka mengkafirkan kesemua sahabat kecuali beberapa orang sahaja.

Ajaran syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh-musuh Islam. Ajaran syiah telah diwujudkan oleh seorang yahudi yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba` .

Abdullah bin Saba` adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman. Berpura-pura memeluk Islam di zaman khalifah Uthman bin Affan r.a. Dia telah mereka ajaran syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Abdullah bin Saba` pernah mengungkapkan ucapan ditujukan kepada Saidina Ali r.a. : " ENGKAULAH ALLAH " Maka Saidina Ali r.a. telah mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba` tetapi ditegah oleh Ibnu Abbas r.a. lalu ia dibuang daerah ke Madain (ibu negara Iran lama).

Abdullah bin Saba` lah orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait. { rujuk kitab: أصول المذاهب الشيعة الإمامية الإثنى عشرية }

Penganut syiah sering mengatakan: " Salahkah kami mencintai Ahli Bait ? " Lalu kita jawab: Tidak salah anda mencintai mereka, tapi yang salahnya apabila kamu mengkafirkan para sahabat Nabi saw yang lain !!! kenapa???

Sedangkan Nabi saw bersabda:

لا تسبوا أصحابي فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه

Artinya: Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku karana seandainya seseorang dari kamu bersedekah dengan emas seukuran Gunung Uhud maka (pahalanya) tidak dapat menyamai infaq para sahabatku dengan ukuran 1 mud (tukaran untuk dua gengaman tangan normal) ataupun setengahnya. (riwayat Bukhari)

Shahril Azman Abd Halim Al-hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws. K.Krau

Saturday, 9 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 1

Muqaddimah:

Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Syiah beramal dengan Islam berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi saw dan ahlul baitnya. Malahan syiah turut menolak kepimpinan dari tiga orang khalifah yang pertama, bahkan sebahagian mereka menghina para khulafa` ar-rasyidin yang merupakan sahabat Rasulullah saw.

Muzakarah khas jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan yang bersidang pada 5 May 1996 telah memutuskan bahawa:

1) Memansuhkan / membatalkan fatwa terdahulu yang diputuskan pada 25 September 1984 mengenai aliran syiah. Pada waktu itu jawatankuasa fatwa memutuskan bahawa hanya mazhab syiah dari golongan Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia. (TELAH DIMANSUHKAN)

2) Menetapkan bahawa hanya ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja boleh diamalkan di Malaysia.

3) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

4) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws.  Kuala Krau.

JADILAH PEMIMPIN YANG BERHEMAH DISAAT NEGARA MENANGGUNG BEBANAN HUTANG

Berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus tadbir kewangan negara bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bernama Saad r.a. ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad r.a, Rasulullah SAW bersabada :

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Artinya: Apakah pembaziran ini? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Lihatlah bagaimana Khalifah  Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri sangat mengagumkan dan seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Islam pada setiap zaman. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara dilakukan secara berhati-hati dan berjimat-cermat atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Tempoh pemerintahannya sangat pendek, hanya 2 tahun setengah sahaja. Namun revolusi yang dibawa memberi impak yang begitu besar kepada rakyat dan negara. Segala perubahan tersebut berlaku dalam masa tidak sampai 3 tahun, Bukan 54 tahun. Saya percaya, selaku salah seorang rakyat biasa yang prihatin, pasti inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Tidak perlulah se-ideal Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai integriti yang meyakinkan.

Walau bagaimanapun, senario yang bertentangan berlaku, tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan dalam negara dan luar negara.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran.

Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi?

Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil  tak guna perbelanjaan tinggi.

PAS mencadangkan untuk tahun 2014 Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lebih banyak guna pesawat komersil walaupun ke luar negara, untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

Ada pemimpin besar negara maju (Malaysia negara membangun) tak guna pesawat pun. Pesawat eksekutif biarlah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja. Tapi Baru-baru ini pun Timbalan Perdana Menteri ulang alik ke Sungai Limau guna pesawat eksekutif. Ini tak betul sebab ini kempen parti bukan program kerajaan dan kalau program kerajaan pun kerajaan perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan  guna pesawat komersil kerana pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik.

Oleh itu, Malaysia sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan defisit negara bahkan mampu membayar hutang negara yang semakin menggunung tinggi hampir 600 Bilion, jika kewangan negara diurus secara berhemah dan berjimat cermat tanpa membazir.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kws. Kuala Krau

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...