Friday 29 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 8

Jawapan Penyelewengan Aqidah Syiah Yang Pertama
(Khalifah atau Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan)

Syiah menganggap bahawa Saidina Ali dan 12 keturunannya adalah Imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah saw dan mengatakan bahawa Saidina Ali lah yang lebih layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw kerana dia sudah dinaskan.

Bagi menjawab persoalan ini, maka saya kemukakan beberapa hujjah berdasarkan kepada nas-nas yang soheh seperti berikut:

Hujjah 1:

Tidak terdapat nas dari al-Quran atau Hadith-hadith sahih yang jelas maksudnya bahawa Saidina Ali itu telah dinaskan sebagai khalifah selepas wafat Rasulullah s.a.w. Ia hanyalah rekaan yang dicipta oleh Abdullah bin Saba` al-Yahudi.

Bahkan disana ada beberapa ATHAR   (آثار)  dari Saidina Ali r.a. sendiri yang menunjukkan tiada dalil yang qat`ie daripada Nabi saw atau al-Quran yang menaskan Saidina Ali r.a. sebagai Khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw., antaranya:

عَنْ أَبِى الطُّفَيْلِ قَالَ سُئِلَ عَلِىٌّ أَخَصَّكُمْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِشَىْءٍ فَقَالَ مَا خَصَّنَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِشَىْءٍ لَمْ يَعُمَّ بِهِ النَّاسَ كَافَّةً ...

Artinya: Daripada Abi at-Thufail katanya, Saidina Ali ditanya: Adakah Rasulullah saw pernah mengkhususkan sesuatu kepada kamu? Lalu Saidina Ali menjawab: Rasulullah saw tidak pernah mengkhususkan  kepada kami sesuatu yang belum diumumkan kepada manusia seluruhnya...(riwayat Muslim, an-Nasaie dan Ahmad) 

عَنْ عَلِىٍّ أَنَّهُ قَالَ يَوْمَ الْجَمَلِ إِنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَمْ يَعْهَدْ إِلَيْنَا عَهْداً نَأْخُذُ بِهِ فِى إِمَارَةٍ وَلَكِنَّهُ شَىْءٌ رَأَيْنَاهُ مِنْ قِبَلِ أَنْفُسِنَا ثُمَّ اسْتُخْلِفَ أَبُو بَكْرٍ رَحْمَةُ اللهِ عَلَى أَبِى بَكْرٍ فَأَقَامَ وَاسْتَقَامَ ثُمَّ اسْتُخْلِفَ عُمَرُ رَحْمَةُ اللهِ عَلَى عُمَرَ فَأَقَامَ وَاسْتَقَامَ حَتَّى ضَرَبَ الدِّينُ بِجِرَانِهِ.

Artinya: Sesungguhnya Saidina Ali r.a. pernah berkata pada hari peperangan Jamal (peperangan ini berlaku pada tahun 36 H di Basrah Iraq), katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah mewasiatkan sesuatu yang boleh kita bersandarkan dengannya dalam perkara perlantikan pemimpin. Tetapi urusan perlantikan pemimpin berdasarkan pandangan kita sendiri. Maka berdasarkan pandanganlah, Abu Bakar as-Siddiq r.a. telah dilantik menjadi khalifah, semoga Allah merahmatinya. Lalu Abu Bakar r.a. melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Kemudian berdasarkan pandanganlah maka Umar r.a. pula dilantik menjadi khalifah, semoga Allah merahmatinya. Lalu Umar r.a. melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah sehingga agama menjadi kukuh. (riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Oleh kerana itu, para sahabat telah bersetuju melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama sebaik sahaja wafat Rasulullah s.a.w. dan Saidina Ali sendiri pun telah berbai'ah dengan Saidina Abu Bakar.
Bai’ah kepada Abu Bakar  ra. berlaku selepas selesai mesyuarat di antara sahabat-sahabat besar di kalangan Muhajirin dan al-Ansor. Ini menunjukkan bahawa yang membuat pemilihan ialah mereka yang dimuliakan di kalangan para ulama dan para pemimpin. Inilah yang dinamakan sebagai ahlul halli wal `aqdi.

قال علي لما قبض النبي صلى الله عليه وسلم نظرنا في أمرنا فوجدنا النبي صلى الله عليه وسلم قد قدم أبا بكر في الصلاة فرضينا لدنيانا من رضي رسول الله صلى الله عليه وسلم لديننا فقدمنا أبا بكر

Artinya: Berkata Saidina Ali r.a.: Tatkala wafatnya Rasulullah saw, kami melihat dalam urusan perlantikan khalifah, lalu kami dapati Rasulullah saw pernah melantik Abu Bakar r.a. menjadi imam solat kami. Maka kami redho untuk urusan dunia kami kepada sesiapa yang diredhoi oleh Rasulullah saw untuk urusan agama kami, lalu kami melantik Abu Bakar sebagai khalifah. (Tobaqat ibnu Sa`ad, dikeluarkan oleh ibnu `Asakir, Tarikh al-Khulafa` Lis-Sayuthi dan disebut dalam masail imam Ahmad)

Maka berdasarkan kepada semua nas-nas ini menunjukkan dalil-dalil qat`ie bahawa Rasulullah saw tidak pernah menaskan atau mewasiatkan jawatan khalifah kepada sesiapapun di kalangan sahabatnya, samaada Abu Bakar r.a. atau Ali r.a. atau selain mereka berdua. Yang ada hanyalah ucapan dan perbuatannya yang mengisyaratkan seolah-olah dia mahukan Abu bakar r.a. sebagai khalifah selepasnya.

Sekian, semoga bermanfaat

Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan Kawasan Kuala Krau

Wednesday 27 November 2013

KEMPEN AWAL KEARAH PERLAKSANAAN CUKAI GST

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana, katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat, kita tanamkan semangat ini,  dengan ini negara kita akan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 24 November 2013.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.
"Kebaikannya ialah kita akan mempunyai sumber kewangan dan hasil yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negara dan rakyat akan lebih bahagia kerana berdasarkan sumberlah, negara akan menjadi maju," katanya. Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.
PAS melihat Najib telah memulakan kempen awalnya supaya rakyat menerima perlaksanaan cukai GST apabila ia dilaksanakan April 2015 nanti. Beliau berhujjah dengan mengatakan:
1- Siapa tak bayar cukai dianggap pengkhianat negara.
2- Sesiapa bayar cukai, maka terbuktilah dia mempunyai semangat patriotisme.
3- Cukai akan meningkatkan pendapatan negara.
4- Negara akan menjadi maju apabila mempunyai sumber pendapatan yang banyak.
Najib hanya nampak siapa tak bayar cukai adalah pengkhianat negara tapi Najib tidak sedar bahawa pengkhianat sebenar ialah mereka yang tidak amanah membelanjakan duit pembayar cukai.
Nampaknya kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Najib Razak tidak mendapat pertolongan dari Allah, Allah membiarkannya berfikir sendiri untuk menyelesaikan masalah hutang negara. Beliau tidak nampak cara lain bagaimana meningkatkan pendapatan negara dan membayar hutang sehingga terdesak membebankannya ke atas bahu rakyat melalui cukai GST yang akan dilaksanakan. Seolah-olah kerajaan dibawah pimpinan Najib Razak sudah kekeringan idea dan tidak nampak cara lain melainkan CUKAI semata-mata.
Kekeringan idea ini terjadi kerana kemenangan BN dalam beberapa PRU bukan melalui sistem dimokrasi yang telus tetapi melalui penipuan dan penyelewengan. Apabila jawatan yang dimiliki itu melalui cara yang tidak betul, maka Allah berlepas diri dari pemerintahan mereka. Oleh itu benarlah sabda Nabi saw:
قال عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ  قَالَ النَّبِىُّ  صلى الله عليه وسلم  « يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ ، فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا ، وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا (متفق عليه)

“Berkata Abdul Rahman bin Samurah, Nabi saw bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan kamu minta jawatan, kerana sesungguhnya jika kamu diberi jawatan dengan sebab kamu minta maka kamu sahaja yang diwakilkan kepada jawatan tersebut (tanpa mendapat bantuan dari Allah dalam menunaikan segala tanggungjawab). Sebaliknya, jika kamu diberikan jawatan bukan kerana kamu minta, nescaya kamu akan dibantu oleh Allah dalam menunaikan tanggungjawab kepimpinan tersebut. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Saya telah sebut dalam artikel yang lalu supaya kerajaan selesaikan dahulu ketirisan, pemborosan, penyelewengan, rasuah, pembayaran gaji melampau, pembaziran dan sebagainya dalam mengurus harta negara, sebelum mengenakan cukai kepada rakyat. Kerana Islam telah meletakkan beberapa syarat penting bagi membolehkan pengambilan cukai daripada rakyat, ini kerana hukum asalnya  adalah haram berdasarkan sabda Nabi saw:
إِنَّ صَاحِبَ المَكْسِ فِى النَّارِ
“Sesungguhnya pengambil cukai di dalam neraka” (riwayat Ahmad)
Bahkan telah dibahas didalam kitab-kitab feqah Islam tentang tegahan mengambil cukai. Imam Ibnu Hajar as-Syafie mengatakan: “Cukai itu adalah sejahat-jahat mungkar, bahkan ia suatu dosa besar”   (الزواجر لإبن حجر) 
Laporan Audit 2012 telah mendedahkan beberapa penyelewengan dan kelemahan pengurusan kerajaan yang merugikan kantong Negara sehingga menyebabkan hutang melangit tinggi, antaranya:
1) Jam dinding harga sebenar hanya RM100 tapi kerajaan beli dengan harga RM3,810 beli sebanyak 20 buah . Sepatut bayar RM2000 sahaja tapi kerajaan bayar RM76,200 maka rugi duit Negara sebanyak RM74,200
2) Pengimbas bersaiz A4 (Scaner) harga sebenar hanya RM200 tapi kerajaan beli dengan harga RM14,300 beli sebanyak 3 buah. Sepatut bayar RM600 sahaja tapi kerajaan bayar RM42,900 maka rugi duit Negara sebanyak RM42,300
Dua contoh ini sahajapun, jika kerajaan amanah menjalankan tugas maka Negara boleh jimat sebanyak RM116,500 tapi ia berlaku sebaliknya. Maka sebab itulah setiap tahun kantong Negara rugi sebanyak RM20 bilion lebih.
Tiba-tiba rakyat yang terpaksa tanggung kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab melalui cukai GST. !!! JOM BANTAH GST DAN TUMBANGKAN BN
Sekian, wassalam.
Shahril Azman Abd. Halim Al-Hafiz

Tuesday 19 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 7

Kesesatan Dari Sudut Aqidah

Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Malaysia. Antara penyelewengannya dari sudut aqidah ialah:

Pertama: Khalifah / Imam diwasiatkan secara Nas bukan secara lantikan.

Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan oleh Allah melalui lisan RasulNya secara Nas bukan lantikan. Syiah beriktiqad bahawa perlantikan imam-imam sama seperti perlantikan Nabi, ia tidak berlaku melainkan dengan Nas daripada Allah SWT atau lisan Rasul atau lisan imam yang telah dilantik secara Nas apabila ia hendak menentukan imam selepasnya.

Hukum Imamah bagi Syiah sama seperti hukum perlantikan Nabi, tidak ada perbezaan. Orang ramai tidak mempunyai hak penentuan, pencalonan dan pemilihan kerana telah ada orang yang telah dilantik secara Nas, dan orang yang telah dilantik secara Nas itu mempunyai persediaan yang cukup untuk menanggung bebanan Imam dan memimpin masyarakat.

Syiah mempercayai bahawa Nabi s.a.w. telah menentukan khalifahnya dan imam di muka bumi ini selepasnya. Lalu baginda menentukan sepupunya Ali bin Abu Talib sebagai Amirul Mukmin pemegang amanah terhadap wahyu dan imam kepada semua makhluk di beberapa tempat. Baginda telah melantiknya dan mengambil baiah kepadanya untuk memerintah orang-orang Islam pada hari Ghadir (Ghadir adalah sebuah tempat yang terletak 3 batu dari Juhfah), Selepas selesai mengerjakan haji terakhir, maka disitulah baginda bersabda: " Ketahuilah bahawa sesiapa yang aku telah menjadikannya ketua maka Ali lah yang menjadi ketuanya. Wahai Tuhan, lantiklah orang yang menjadikan Ali sebagai pemimpin dan musuhilah orang yang memusuhinya dan tolonglah orang yang menolongnya dan hinalah orang yang menghinanya. Berilah kebenaran kepada Ali di mana ia berada".

Maka Syiah mempercayai bahawa wasi Rasulullah saw  ialah Saidina Ali. Kemudian Saidina Ali mewasiatkannya pula kepada anaknya Hasan dan Hasan mewasiatkannya pula kepada Hussain sehinggalah kepada Imam Dua Belas AI-Mahdi AI-Muntazar (telah disebutkan dalam siri ke 4). (Rujukan: Kitab Aqaid al-Imamiah oleh ulama Syiah iaitu Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 78:)

Antara dalil yang diguna pakai oleh Syiah dalam bab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Samurah r.a...

عن جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَكُونُ اثْنَا عَشَرَ أَمِيرًا فَقَالَ كَلِمَةً لَمْ أَسْمَعْهَا فَقَالَ أَبِي إِنَّهُ قَالَ كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ

“Daripada Jabir bin Samurah Katanya: Aku dengar Nabi saw bersabda: Islam akan berada dalam keadaan kuat sehinggalah kepada 12 orang Imam. Lalu Nabi menyebut sesuatu yang aku tidak dengar, lantas aku bertanya kepada ayahku tentang apa yang diucapkan Nabi. Ayahku menjawab: Nabi kata: 12 orang imam itu semuanya berketurunan Quraish”

Maka Syiah mengatakan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib lah yang paling layak menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah saw, kerana beliau telah ditentukan secara Nas dan 12 orang keturunannya selepasnya. Sedangkan Abu Bakar, Umar dan Osman ditentukan secara lantikan.

Note: Nantikan jawapan pencerahan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam bab ini pada siri ke 8 InsyaAllah

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan Kws. Kuala Krau

Thursday 14 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 6

Aliran Syiah Di Malaysia

Di Malaysia terdapat 3 kumpulan Syiah yang berkembang semenjak beberapa tahun yang lalu, iaitu:

1) Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra)

Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang (statistik tahun 1996, 17 tahun dulu sekarang mungkin lebih).

2) Syiah Ismailiyah Agha Khan

Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra. Mereka memiliki gudang karpet, tekstil dan pasar raya termurah yang terbesar di Malaysia.

3) Syiah Jaafariyah / Imamiyah Ithna `Asyariyah (Imam 12)

Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan samaada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Pengaruh & Buku Syiah Yg Tersebar Di Malaysia:

Pengarah fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya: Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di Malaysia, pengikut Syiah dianggarkan antara 3000 hingga 5000 orang.

Antara gejala-gejala Syiah yang timbul akibat dari fahaman dan ajaran Syiah ini ialah:

1- Adanya usaha menghantar pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke Iran.
2- Wujudnya kes kahwin mutaah.
3- Meluasnya penyebaran buku-buku Syiah.
4- Wujudnya sokongan dari golongan tertentu kepada pengaruh Syiah.

Sekian, hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz

Layari http://penerangandandakwah.blogspot.com


Posted via Blogaway

Wednesday 13 November 2013

MEMBONGKAR PENYELEWENGAN BN BAB 2

Kerajaan bazir RM7.2 bilion lantik perunding asing

Ahli Dewan Rakyat hari ini (13/11/13) dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM7.2 bilion dalam masa lima tahun iaitu dari 2009 hingga Oktober 2013, semata-mata membayar kepada syarikat perunding swasta.

Kerajaan menjelaskan sebanyak RM1,246,817,156.72 dibelanja untuk tujuan itu pada tahun 2009, RM1,632,008,502.20 (2010), RM1,797,658,442.40 (2011), RM1,824,659,329.87 (2012) dan RM721,890,218.56 (Okt 2013).

Jumlah ini jika dipecahkan, ia menjadi RM125 juta sebulan, atau RM4 juta sehari. Ini merupakan penyelewengan dan pemborosan penggunaan hasil kerajaan yang sebahagiannya dijana dari cukai rakyat.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat banyak kali membangkitkan isu pembaziran yang dibuat kerajaan dalam bayaran pengambilan syarikat perunding luar.

Ia bukan sahaja dilihat membazir dana negara, malah juga didakwa mengenepikan kepakaran tempatan.

Kita masih ingat lagi pada bulan April 2010 kita dikejutkan dengan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kontrak yang dimeterai antara kerajaan dengan firma perunding perhubungan  Apco Worldwide bernilai hampir RM77 juta setahun.

Adakah perkhidmatan Apco begitu istimewa yang memerlukan bayaran sebegitu tinggi? Kenapa tiada syarikat tempatan diambil. Saya pasti firma tempatan mampu melakukan kerja itu.

Apa perlunya kita melantik syarikat asing penjadi penasihat kerajaan sehingga sanggup membazir wang rakyat dengan bayaran yang mahal dan merugikan!!!kemana perginya syarikat tempatan? yang tentunya jauh lebih murah jika digunakan. Kenapa kerajaan sanggup mengupah APCO sedangkan ia ada hubungkait dengan Yahudi, apatah lagi yang menganggotainya sebahagian daripada bekas tentera Israil.

Yang mengecewakan kita, kenapa syarikat Yahudi yang dipilih untuk menasihat kerajaan Malaysia, ini meletakkan negara dalam bahaya, kerana Allah sendiri mendedahkan sikap mereka yang sentiasa memusuhi umat Islam. Firman Allah:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

" Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai Muhammad sehinggalah engkau menurut agama mereka " (baqarah:120)

" BERSAMALAH DENGAN ORANG YANG BENAR DAN PRIHATIN "

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Tuesday 12 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 5

Aqidah Syiah ???

Lima perkara menjadi rukun kepercayaan atau usuluddin bagi Mazhab Syiah:

1) Tauhid    - Allah SWT itu Maha Esa
2) `Adalah  - Allah SWT itu Maha Adil
3) Qiyamah - Allah SWT akan membangkitkan manusia untyuk pengadilan di Hari Kiamat
4) Nubuwwah - Nabi dan Rasul yg maksum dilantik oleh Allah untuk mengajar dan membimbing manusia. Muhammad saw merupakan Nabi dan Rasul akhir zaman.
5) Imamah - Allah melantik orang yang tertentu sebagai pemimpin umat manusia. Umat manusia sentiasa ada seorang Imam dan hanya seorang Imam sahaja boleh wujud pada bila bila masa. Sesetengah Rasul adalah Imam. Contohnya, Nabi Ibrahim a.s. merupakan seorang Nabi, Rasul dan Imam. Sebaliknya tidak semua Imam adalah Nabi atau Rasul. Contohnya, Imam Ali, yang bukannya seorang Rasul atau Nabi tetapi Imam.

Perbezaan antara Syiah dan Sunni boleh dilihat pada perkara-perkara berikut:

1- Perlantikan Khalifah diwasiatkan secara nas bukan perlantikan atau pemilihan.
2- Imam adalah maksum berdasarkan firman Allah.
3- Ali adalah pemimpin umat Islam setelah wafat Rasulullah saw.
4- Mencela para sahabat Nabi dan ummahatul mukminin.
5- Menghalalkan nikah Mutaah yang diharamkan oleh Islam.
6- Menolak beberapa ijmak ulama yang tidak bertanggungjawab.
7- Menolak Qiyas.
8- Menerima hadis yang diriwayatkan sebahagian Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun mengatakan para sahabat yg merawikan hadis itu kafir.
9- Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan.

Sembilan perbezaan ini, akan dihuraikan satu persatu pada siri-siri yang berikutnya insyaAllah.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Untuk siri sebelum ini layari
http://penerangandandakwah.blogspot.com

MEMBONGKAR PENYELEWENGAN BN BAB 1

Salah guna dana rakyat RM250 juta oleh NATIONAL FEEDLOT CORPORATION SDN BHD (NFC)

11 NOVEMBER 2013: Kes saman RM100 juta Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadap Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut tanpa sebarang syarat.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka mengenai projek NFC.
Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu  berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diucapkan bekas menteri tersebut.

Langkah itu diambil untuk memastikan kes melibatkan syarikat NFC yang diusahakan keluarga menteri itu terus DIBAWA KE MAHKAMAH (Tiba tiba Shahrizat tarik balik, Hairan!!!kenapa tarik? tanpa sebarang syarat pulak tu?).

Saman balas itu diambil kerana khuatir pihak plantif mungkin mengambil keputusan melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Penyelewengan wang rakyat NFC terbongkar selepas laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2010. Dana wang rakyat yang diperuntukkan kepada NFC sebanyak RM250 juta adalah supaya ternak lembu bagi menampung bekalan daging negara mencukupi. Tetapi NFC telah selewengkan dana tersebut kepada perkara-perkara berikut:

1- Membeli 2 unit kondominium bernilai RM13.9 juta
2- Menunai umrah
3- Melabur kesimpanan tetap
4- Melancung ke luar negara seperti Indonesia & Thailand dengan kos  RM455,423  , 15 cek dikeluarkan antara Jan – July kepada Impian Global  Networks Services (IGNS) ialah syarikat yang menawarkan percutian pakej percutian ke Bandung, Kuching, Phuket
5- Membeli Mercedes Benz berharga RM534,622 pada 9 Dic 2009 kos penyelenggaraannya setiap bulan lebih kurang RM20,000
6- RM3,363,507 disalurkan kepada National Meat Lives Corporation
    (NMLC) untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya pada 2009
7- 21 July 2010 NFC memindahkan RM588,585 secara terus ke akaun milik Meatworks (Singapore) milik suami Shahrizat yg membekal daging ke restoran negara Singapore – Sdgkan tiada kena mengena syarikat ini  dgn NFC

Namun Sharizat Jalil tetap menang dalam pemilihan wanita UMNO baru-baru ini, walaupun beliau terpalit dengan berbagai skandel. Itulah hebatnya UMNO...hidup melayu...maka benarlah apa yang disabdakan oleh Nabi saw:

سَيَأْتِى عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ

Akan tiba zaman khianat keatas umatku, pada waktu itu seorang penipu akan dibenarkan manakala seorang yang benar akan dianggap tipu. Dan pada waktu itu juga seorang pengkhianat dikatakan amanah, manakala seorang yang amanah dikatakan khianat...(riwayat Ibnu Majah)

" BERSAMALAH DENGAN ORANG YANG BENAR DAN PRIHATIN "

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Monday 11 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 4

Aliran Syiah

Aliran Syiah berpecah kepada beberapa cabang. Namun, beberapa cabang yang utama pada masa kini mempunyai pengikut yang ramai. Aliran Syiah yang paling terkenal dan terbesar ialah:

1) Golongan Syiah Imam Dua Belas

Golongan ini dikenali sebagai Syiah Imam 12 (Ithna `Asyariyah) atau Imamiah atau Jaafariyyah yang merangkumi 90% penduduk Iran, 60% penduduk Iraq, segelintir di Afghanistan, Pakistan, Lubnan dan Syiria.

2) Golongan Syiah Zaidiyah

Golongan ini dikenali dengan nama Syiah Imam Lima yang berkembang sekitar 40% di Yaman.

3) Golongan Syiah Ismailiyah

Golongan ini dikenali dengan Syiah Imam tujuh yang mempunyai pengikut dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syiria dan Timur Afrika.

4) Golongan Syiah Batiniyah

Seperti kelompok Alawiyah dan Druze juga menganggap diri mereka sebagai Syiah meskipun tidak diiktiraf oleh Syiah yang lain. Kelompok Alawi dan Druze ini adalah golongan yang tidak bersolat, tidak mempunyai masjid di penempatan mereka dan tidak melaksanakan amalan Islam. Mereka dianggap murtad dan kafir dari agama Islam oleh ulama Sunni.

5) Golongan Tarekat-Tarekat Sufi Beraliran Syiah

Tarekat Alevi, Bektashi, Hamadani dan Fatimiyyah. 20% dari penduduk Turki mengikut Tarekat Alevi sementara Lubnan dan Syiria pula mempunyai  bilangan besar golongan Druze dan Alawi.

Syiah Imamiah Ithna `Asyariyyah ialah Syiah yang mempercayai 12 orang Imam yg dilantik oleh Allah secara berterutun adalah seperti berikut:

1- Ali bin Abi Tolib (wafat 40H)
2- Hasan bin Ali (wafat 50H)
3- Husain bin Ali (wafat 61H)
4- Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94)
5- Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117)
6- Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148H)
7- Musa al-Kazim bin Jaafar as-Sadiq (wafat 183H)
8- Ali ar-Ridha bin Musa al-Kazim (wafat 202H)
9- Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220H)
10- Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254H)
11- Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260H)
12- Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260H)

Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi saw telah mewasiatkan keturunannya menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu dibawah seorang imam.

Ijtihad kebanyakan ulama sunni terhadap Syiah yg menyeleweng ialah golongan syiah daripada Imamiyah/Jaafariyyah dan Zaidiyyah yg diringkaskan sebagai GHULAT kerana mendewakan Ali sebagai Tuhan dan para imam mereka sebagai maksum.

Imam Ghazali dalam bukunya Mustazhir menentang keras fahaman Syiah kerana ia mengandungi pengajaran Batiniyah.

Manakala Imam Jaafar al-Sadiq iaitu generasi keenam keturunan Ali bin Abi Tolib sendiri menyatakan Syiah tidak boleh dikahwini kerana AKIDAH MEREKA BERTENTANGAN DGN AL-QURAN DAN HADIS. Namun, golongan Syiah Imamiyyah tetap menganggap imam jaafar al-Sadiq sebagai imam keenam bagi umat Islam, walaupun beliau tidak mengakuinya dan menerima baiah mereka.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
http://penerangandandakwah.blogspot.com

Sunday 10 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 3

Sejarah Syiah...

Sejarah permulaan mazhab syiah ini boleh diringkaskan kepada dua pendapat yang menjelaskan kewujudan aliran syiah ini sehingga kini.

1) Pendapat pertama mengatakan ketika berlakunya perang Siffin diantara Ali r.a. dan Muawiyah r.a. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan bahawa pengikut Ali r.a beraliran syiah, manakala pengikut Muawiyah pula beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun demikian ia bukanlah begitu sebenarnya. Ijtihad yang dinyatakan bahawa pengikut Ali r.a. beraliran syiah didapati tidak benar dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih cenderung kepada Ali r.a.

2) Pendapat kedua mengatakan kemunculan syiah setelah kematian Husain bin Ali r.a. ketika beliau keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq di sana nanti. Namun, penyokong beliau di Iraq mengkhianatinya kerana takutkan pihak kerajaan menyerang mereka dan mereka membiarkan Husain dengan penyokongnya terkepung oleh tentera kerajaan dan menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.

Akibat daripada tragedi pembunuhan itu, muncul sekelompok muslim menuntut agar pembunuhan tersebut dituntut bela. Ada pula sekelompok yang lain menghukum kelompok ini kafir kerana sudah terkeluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Lalu berlakulah pergaduhan dan menyebabkan beberapa orang dari kalangan penyokong Husain terbunuh dan mereka digelar sebagai syiah.

Ini secara tidak langsung menjelaskan hubungan kuat antara syiah dan Husain r.a. berbanding Ali r.a. sendiri. Ini ternyata apabila para pengikut syiah seringkali menyambut 10 Muharram sebagai memperingati hari kematian Husain disambut dengan begitu semangat dan meriah, malangnya tidak pula mereka menyambut hari kematian Ali r.a.

Akibat dari peristiwa itu, wujud golongan yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah dan mazhab fiqh mereka, masih tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka adalah pemimpin awal syiah yang masih berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Data 2012 bilangan pengikut Sunni dan Syiah di beberapa buah negara adalah seperti berikut:

1} Iran: 70 juta penduduk, Sunni 10% dan Syiah 89%
2} Arab Saudi: 26 juta penduduk, Sunni 89% dan Syiah 10%
3} Iraq: 25 juta penduduk, Sunni 32% dan Syiah 65%
4} Kuwait: 2.2 juta penduduk, Sunni 60% dan Syiah 25%
5} Bahrain: 678 ribu penduduk, Sunni 30% dan Syiah 70%
6} Yaman: 20 juta penduduk, Sunni 70% dan Syiah 30%
7} Azerbaijan: 7.8 juta penduduk, Sunni 29% dan Syiah 67%
8} Syria: 18 juta penduduk, Sunni 74% dan Syiah 16%
9} Lubnan: 3.7 juta penduduk, Sunni 23% dan Syiah 38%
10} Pakistan: 159 juta penduduk, Sunni 77% dan Syiah 20%
11} Turki 68.8 juta penduduk, Sunni 85% dan Syiah 13%
12} Afghanistan 28.5 juta penduduk, Sunni 84% dan Syiah 15%
13} Emiriah Arab Bersatu: 2.5 juta penduduk, Sunni 81% dan Syiah 15%

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 2

Siapakah Syiah dan bagaimana ia wujud dan berkembang ???

Syiah ialah golongan yang mendakwa Ali bin Abi Tolib lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mereka mengkafirkan kesemua sahabat kecuali beberapa orang sahaja.

Ajaran syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh-musuh Islam. Ajaran syiah telah diwujudkan oleh seorang yahudi yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba` .

Abdullah bin Saba` adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman. Berpura-pura memeluk Islam di zaman khalifah Uthman bin Affan r.a. Dia telah mereka ajaran syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Abdullah bin Saba` pernah mengungkapkan ucapan ditujukan kepada Saidina Ali r.a. : " ENGKAULAH ALLAH " Maka Saidina Ali r.a. telah mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba` tetapi ditegah oleh Ibnu Abbas r.a. lalu ia dibuang daerah ke Madain (ibu negara Iran lama).

Abdullah bin Saba` lah orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait. { rujuk kitab: أصول المذاهب الشيعة الإمامية الإثنى عشرية }

Penganut syiah sering mengatakan: " Salahkah kami mencintai Ahli Bait ? " Lalu kita jawab: Tidak salah anda mencintai mereka, tapi yang salahnya apabila kamu mengkafirkan para sahabat Nabi saw yang lain !!! kenapa???

Sedangkan Nabi saw bersabda:

لا تسبوا أصحابي فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه

Artinya: Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku karana seandainya seseorang dari kamu bersedekah dengan emas seukuran Gunung Uhud maka (pahalanya) tidak dapat menyamai infaq para sahabatku dengan ukuran 1 mud (tukaran untuk dua gengaman tangan normal) ataupun setengahnya. (riwayat Bukhari)

Shahril Azman Abd Halim Al-hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws. K.Krau

Saturday 9 November 2013

MEMBONGKAR KESESATAN SYIAH SIRI 1

Muqaddimah:

Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Syiah beramal dengan Islam berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi saw dan ahlul baitnya. Malahan syiah turut menolak kepimpinan dari tiga orang khalifah yang pertama, bahkan sebahagian mereka menghina para khulafa` ar-rasyidin yang merupakan sahabat Rasulullah saw.

Muzakarah khas jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan yang bersidang pada 5 May 1996 telah memutuskan bahawa:

1) Memansuhkan / membatalkan fatwa terdahulu yang diputuskan pada 25 September 1984 mengenai aliran syiah. Pada waktu itu jawatankuasa fatwa memutuskan bahawa hanya mazhab syiah dari golongan Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia. (TELAH DIMANSUHKAN)

2) Menetapkan bahawa hanya ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja boleh diamalkan di Malaysia.

3) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

4) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan & Dakwah PAS Kws.  Kuala Krau.

JADILAH PEMIMPIN YANG BERHEMAH DISAAT NEGARA MENANGGUNG BEBANAN HUTANG

Berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus tadbir kewangan negara bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bernama Saad r.a. ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad r.a, Rasulullah SAW bersabada :

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Artinya: Apakah pembaziran ini? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Lihatlah bagaimana Khalifah  Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri sangat mengagumkan dan seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Islam pada setiap zaman. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara dilakukan secara berhati-hati dan berjimat-cermat atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Tempoh pemerintahannya sangat pendek, hanya 2 tahun setengah sahaja. Namun revolusi yang dibawa memberi impak yang begitu besar kepada rakyat dan negara. Segala perubahan tersebut berlaku dalam masa tidak sampai 3 tahun, Bukan 54 tahun. Saya percaya, selaku salah seorang rakyat biasa yang prihatin, pasti inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Tidak perlulah se-ideal Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai integriti yang meyakinkan.

Walau bagaimanapun, senario yang bertentangan berlaku, tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan dalam negara dan luar negara.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran.

Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi?

Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil  tak guna perbelanjaan tinggi.

PAS mencadangkan untuk tahun 2014 Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lebih banyak guna pesawat komersil walaupun ke luar negara, untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

Ada pemimpin besar negara maju (Malaysia negara membangun) tak guna pesawat pun. Pesawat eksekutif biarlah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja. Tapi Baru-baru ini pun Timbalan Perdana Menteri ulang alik ke Sungai Limau guna pesawat eksekutif. Ini tak betul sebab ini kempen parti bukan program kerajaan dan kalau program kerajaan pun kerajaan perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan  guna pesawat komersil kerana pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik.

Oleh itu, Malaysia sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan defisit negara bahkan mampu membayar hutang negara yang semakin menggunung tinggi hampir 600 Bilion, jika kewangan negara diurus secara berhemah dan berjimat cermat tanpa membazir.

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz
Ketua Penerangan PAS Kws. Kuala Krau

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...